Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Persiapan perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat Perak di perkarangan Stadium Perak, di sini, esok terjejas susulan ribut melanda petang tadi.

Visual serta gambar memaparkan persiapan sambutan yang dijadual akan turut dihadiri kenamaan, antaranya khemah, pentas dan kerusi diterbangkan angin tular di media sosial petang tadi.

Tinjauan di tempat kejadian jam 7 malam tadi mendapati beberapa khemah bersaiz besar yang disediakan termasuk khemah di pentas utama menempatkan tetamu kenamaan serta khemah jemputan ranap akibat dipukul angin selain terdapat kejadian pokok serta tiang lampu jalan tumbang. Terdapat puluhan anggota pasukan beruniform seperti polis, bomba dan penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak penganjur sedang bertungkus-lumus membaiki dan membetulkan kerosakan.

Ia kerana biarpun persiapan itu dilihat terjejas teruk, namun difahamkan majlis sambutan Hari Kebangsaan anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak itu tetap akan diteruskan pagi esok.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, polis menerima laporan awal berhubung kejadian pokok tumbang jam 5.45 petang tadi namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Katanya, pihaknya turut difahamkan bahawa kerja pembersihan dan pembaikan prasarana yang rosak di venue sambutan akan disiapkan sebelum pagi esok bagi menjayakan majlis sambutan berkenaan.

"Kita bantu, akan berlangsung juga (Sambutan Kemerdekaan) pagi esok, Insya-Allah," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima panggilan daripada Pengerusi Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah bagi bantuan menghantar anggota untuk kerja pembersihan dan pembaikan kerosakan di venue acara terbabit.

Sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat Perak di perkarangan Stadium Perak, di sini, esok dijadual akan dihadiri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah; Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah; dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Shah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 8:21 PM