Langkawi: Tiga anggota polis cedera selepas kereta peronda dinaiki mereka melanggar belakang sebuah kereta yang berhenti secara mengejut selepas pemandunya dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal yang terbalik di Jalan Kuah-Padang Matsirat, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.20 malam, tiga anggota polis terbabit cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Langkawi manakala kenderaan mereka mengalami kerosakan.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Che Ghazali Che Awang berkata, ketika kejadian ketiga-tiga anggota polis terbabit dalam perjalanan dari Padang Matsirat menuju ke Kuah, di sini.

“Sebelum kejadian seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang menunggang motosikal dari arah Kuah ke Padang Matsirat dipercayai membuat pusingan U sebelum kenderaan ditunggangnya hilang kawalan dan terjatuh di laluan bertentangan.

“Pada waktu sama, kereta Toyota Vios dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun terpaksa brek mengejut bagi mengelak melanggar penunggang terbabit.

“Akibatnya kereta peronda polis yang melalui laluan sama tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang kereta lelaki terbabit,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, remaja lelaki itu mengalami bengkak kaki kanan dan luka di beberapa bahagian badan manakala pemandu Toyota Vios tidak cedera.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan bapa kepada remaja terbabit dipanggil untuk keterangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 9:13 AM