Mangsa, Nor Aza (gambar kecil) yang maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuah-Padang Matsirat, Langkawi, malam tadi. FOTO Ihsan Facebook Laporan Kemalangan Langkawi.
Mangsa, Nor Aza (gambar kecil) yang maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuah-Padang Matsirat, Langkawi, malam tadi. FOTO Ihsan Facebook Laporan Kemalangan Langkawi.
Hamzah Osman


JURURAWAT maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas dan melanggar pokok akibat dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda lain di Jalan Kuah-Padang Matsirat, Kampung Sungai Menghulu, Langkawi semalam.

Dalam kejadian 9 malam itu, mangsa, Nor Aza Che Ani, 33, yang bertugas di Hospital Langkawi (HL), meninggal dunia ketika menerima rawatan di HL selepas parah di kepala dan badan.

Kenderaan pacuan empat roda yang melanggar mangsa dipandu lelaki warga Jerman berusia 62 tahun yang turut parah di kepala dan kini dirawat di wad HL.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Dr Che Ghazali Che Awang, berkata, ketika kejadian kedua-dua kenderaan pacuan empat roda itu dalam perjalanan dari Kuah menghala ke Padang Matsirat.

"Sejurus tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa dipercayai dilanggar dari belakang sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar pokok.

"Mangsa yang parah dan dihantar ke HL menggunakan ambulans sebelum dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Bahagian Kecemasan HL," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, jenazah mangsa sudah dituntut keluarga dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kemalangan itu pada 9.06 malam.

"Sebuah jentera bersama 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

"Setiba di lokasi, bomba mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan pacuan empat roda dengan kedua-dua pemandu tersepit sebelum dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 12:54 PM