ANGGOTA pasukan penyelamat      mengesan mangsa di kawasan Sungai Tawau.
ANGGOTA pasukan penyelamat mengesan mangsa di kawasan Sungai Tawau.

Tawau: Hari ketiga pencarian kanak-kanak berusia tiga tahun, semalam yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari dapur rumah, Isnin lalu diteruskan dengan mengesan tanda lain seperti pakaian mangsa yang mungkin terlucut dari tubuhnya.

Sehingga kini pasukan Bomba dan Penyelamat belum mendapat sebarang petanda mengenai kehilangan Md Famirul Aiman Rahman dan misi pencarian masih diteruskan di Sungai Tawau, Kampung Jawa Lanut, di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau Mohd Razali Awang Ahmad berkata, meskipun polis tidak dapat mengesahkan mangsa terjatuh dan lemas di sungai berkenaan berikutan tiada bukti atau saksi sahih, namun misi mencari dan menyelamat (SAR) tetap dilaksanakan.

“Berdasarkan siasatan polis, ibu bapa mendapati mangsa tiada di rumah dan menganggap kemungkinan besar mangsa terjatuh di sungai terbabit, namun polis tidak dapat mengesahkan kejadian itu.

“Pihak bomba tetap melakukan pencarian selain mencari tanda di sungai seperti pakaian mangsa yang terlucut dari tubuhnya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Razali berkata, untuk operasi SAR yang masuk hari ketiga semalam, pasukannya memulakan pencarian seawal jam 7.17 pagi dengan mengerahkan 10 anggota dan pegawainya hadir ke lokasi.

“Operasi diteruskan dengan memperluaskan jarak kawasan pencarian sehingga ke Sungai Tawau di Kampung Jawa Lanut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2015 @ 9:36 AM