ANGGOTA bomba berusaha    mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit pada pedal basikal, kelmarin.
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit pada pedal basikal, kelmarin.

Ipoh: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun menahan sakit lebih 10 minit apabila kaki kirinya tersepit pada pedal basikal dalam kejadian di hadapan pintu pagar Sekolah Kebangsaan Sungai Rapat, di sini, kelmarin.

Mohd Danial Zulmasri dibantu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh yang tiba selepas menerima panggilan kecemasan daripada guru sekolah, jam 3.17 petang.

Ketua Operasi Mohammad Fauzi Abd Aziz berkata, 10 anggota bersama sebuah jentera dan Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba, anggota bertugas mendapati kaki kiri kanak-kanak lelaki berkenaan tersepit dipercayai tergelincir ketika menunggang secara laju untuk aktiviti petang di sekolah. Usaha membantu diteruskan menggunakan alat menyelamat.

“Peralatan khas itu digunakan untuk merenggangkan pedal pengayuh dan besi pada rangka basikal sebelum mengeluarkan kaki mangsa,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kanak-kanak itu hanya cedera ringan dengan kesan bengkak di buku lali.

Katanya, pihaknya menasihatkan guru bertugas membawa murid berkenaan mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 4:21 AM