Kuala Lumpur: “Blogger Papagomo diminta menyerah diri di balai polis sebelum kami menahannya untuk membantu siasatan,” tegas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika mengulas berhubung isu rusuhan di Plaza Low Yat.

Menurutnya, beberapa blogger lagi akan dipanggil polis selepas mereka dikesan menyebarkan berita tidak benar di laman sosial berhubung isu itu hingga mencetuskan kekacauan.

“Polis akan memantau medium media sosial dari semasa ke semasa yang dilihat menjadi ‘sarang’ penyebaran berita palsu serta ‘mengapi-apikan’ isu berkenaan.

“Kejadian ini tiada kaitan langsung dengan isu perkauman. Perkara ini perlu ditangani segera dan polis menyeru orang ramai supaya tidak mudah percaya dan menyebarkan laporan tidak benar,” katanya ketika ditemui di Plaza Low Yat di sini, semalam.

Menurutnya, polis akan menyelesaikan perkara ini dengan segera dan orang ramai tidak perlu takut dan bimbang dengan kejadian rusuhan serta pergaduhan di Plaza Low Yat kerana semuanya dalam keadaan terkawal.

Khalid turut mengesahkan semua 19 suspek yang ditahan polis kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan individu yang cuba membangkitkan sentimen perkauman.

Beliau turut mengingatkan orang ramai tidak mudah percaya penyebaran ‘khabar angin’ dan maklumat tidak benar berkaitan isu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 5:07 AM