PELBAGAI lauk pauk enak yang boleh didapati di kafe Nur Ain.
PELBAGAI lauk pauk enak yang boleh didapati di kafe Nur Ain.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


"ADA pelanggan yang datang bersama anak-anak tapi bila pesan makanan, mereka berkongsi makan sepinggan nasi kerana tidak mempunyai wang.

"Malah ada juga pelanggan yang ketika mahu membayar di kaunter, tangannya terketar-ketar mengira kepingan duit RM1 yang ada dalam beg dan keadaan itu benar-benar menyentuh hati.

"Saya sekeluarga juga pernah lalui zaman susah dan memahami betapa walau sekecil mana pertolongan yang diberikan sekalipun, ia tetap dapat membantu

menggembirakan mereka," kata Nur Ain Kodir, 34.

Pemilik Meq Cafe yang terletak di Jalan Cecawi 6/33, Kota Damansara, Selangor itu menjadi bualan ramai kerana bermurah hati memberi juadah berbuka puasa percuma kepada golongan yang memerlukan di kawasan sekitarnya.

Kata Nur Ain, inisiatif 'Bayar Jika Mampu' itu bermula sejak Ramadan tahun lalu dan diteruskan pada tahun ini.

Menurutnya penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) benar-benar memberi kesan kepada golongan yang kurang berkemampuan di kawasan bandar.

"Ramai yang kehilangan pekerjaan, tiada sumber pendapatan tetapi pada masa sama perlu menanggung keluarga.

ORANG ramai beratur seawal jam 3 petang untuk membeli juadah berbuka di Meq Cafe.
ORANG ramai beratur seawal jam 3 petang untuk membeli juadah berbuka di Meq Cafe.

PERKHIDMATAN penghantar makanan digunakan untuk menghantar sumbangan berbuka puasa.
PERKHIDMATAN penghantar makanan digunakan untuk menghantar sumbangan berbuka puasa.

"Mereka dalam kesempitan hingga ada yang terpaksa mencatu makanan demi meneruskan kelangsungan hidup.

"Jadi, apabila ada pelanggan atau penduduk sekitar yang teringin untuk menikmati hidangan berbuka yang dijual di kafe ini, masih boleh datang kerana kami tidak akan mengambil sebarang bayaran jika anda benar-benar tidak mampu," katanya kepada Harian Metro.

Ibu kepada enam anak dari Tanah Merah, Kelantan itu berkata, selepas kerajaan memberi kelonggaran, sepanjang Ramadan, kafe berkenaan beroperasi dari jam 3 petang hingga 12 tengah malam.

Katanya, dengan bantuan daripada tujuh pekerjanya, pelbagai lauk pauk dan kuih muih tradisional disediakan serta dijual dengan harga berpatutan.

"Antara lauk yang disediakan adalah ayam percik, gulai ayam, ikan bilis sambal, pelbagai jenis hidangan sayuran, ayam masak merah serta daging goreng kunyit.

"Untuk kuih muih pula, setiap hari pelbagai jenis kuih talam seperti kuih lapis, nona manis, koci, seri muka, onde-onde, kuih ulat bulu, bomboloni, roti john dan banyak lagi.

"Jika cuaca mengizinkan, semua hidangan itu laris dijual sebelum Maghrib kerana orang ramai tidak ketinggalan mendapatkan juadah berbuka puasa seawal jam 3 petang lagi," katanya.

Menurut pengasas pertubuhan bukan kerajaan, Meq Be Kind itu lagi, kafenya juga menyediakan bank makanan untuk penduduk kawasan sekitar.

MENYIAPKAN pek makanan untuk dihantar ke Rumah Ronald McDonald (RRM), HCTM-UKM.
MENYIAPKAN pek makanan untuk dihantar ke Rumah Ronald McDonald (RRM), HCTM-UKM.

Katanya, pelbagai barangan asas seperti beras, tepung gandum, gula, makanan dalam tin serta susu bayi disediakan untuk mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.

"Barangan itu kebanyakannya disumbangkan orang ramai dan ada daripada kami sendiri.

"Sejujurnya, kebanyakan dana Meq Be Kind adalah daripada hasil pendapatan kafe ini sendiri kerana bagi saya, apa yang kami dapat akan disumbang balik kepada golongan susah," katanya.

Sementara itu, bagi berkongsi rezeki yang ada, Nur Ain berkata, NGO itu turut menyediakan hidangan berbuka kepada penghuni rumah anak yatim sekitar Selangor dan Rumah Ronald McDonald (RRM) di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM).

Katanya, sebanyak 150 pek makanan akan dihantar menggunakan khidmat penghantar makanan ke RRM setiap hari.

"Kami tidak mampu memberi bantuan wang ringgit namun dengan sumbangan berupa makanan ini, diharap dapat sedikit sebanyak menceriakan puasa mereka.

"Sedikit sama dikongsi. Insya-Allah tidak akan luak dan makin bertambah rezeki kita jika berkongsi dengan mereka yang memerlukan.

"Semoga Ramadan kali ini membawa keberkatan dan lebih keinsafan untuk kita semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 7:01 AM