ABDUL Rahman ketika baru mengambil alih perniagaan cendol bapanya.
ABDUL Rahman ketika baru mengambil alih perniagaan cendol bapanya.
ABDUL Rahman melayan pelanggan di trak makanan miliknya.
ABDUL Rahman melayan pelanggan di trak makanan miliknya.
MARIA (dua dari kiri) dan Omar (kanan) bersama gerai bergerak cendol keluarganya.
MARIA (dua dari kiri) dan Omar (kanan) bersama gerai bergerak cendol keluarganya.
CENDOL Mohaideen terkenal sekitar Kajang dan Bangi.
CENDOL Mohaideen terkenal sekitar Kajang dan Bangi.
MARIA membantu di gerai cendol keluarganya.
MARIA membantu di gerai cendol keluarganya.
OMAR membantu menghasilkan cendol untuk dijual.
OMAR membantu menghasilkan cendol untuk dijual.
KELUARGA besar Mohaideen.
KELUARGA besar Mohaideen.
Faizatul Farlin Farush Khan

Legasi bapa mengusahakan gerai cendol bergerak sejak 71 tahun lalu, tidak pernah padam, malah ia diteruskan 15 beradik, komited menguruskan perniagaan yang menjadi sumber pendapatan seisi keluarga.

Memulakan perniagaan pada 1945 di kawasan Kajang dan Bangi, arwah Mohaideen Mahmud yang berasal dari Kerala, India, menghabiskan masa kira-kira lapan jam sehari, gigih bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan demi mencari rezeki.

Jika ketika ini, trak makanan popular dalam kalangan peniaga, gerai cendol yang diusahakannya tujuh dekad lalu sudah pun membawa konsep moden itu.

Ia menjadi bukti kepada kebijaksanaan Mohaideen yang memiliki darah Malbari dalam mengurus dan mengembangkan perniagaannya.

Hasil pendapatan cendol bukan saja mampu membesarkan ramai anak, tetapi kini turut diwarisi sembilan cucu yang mengusahakan perniagaan sama.

Biarpun selepas pemergian arwah sekitar 1995 pada usianya 75 tahun, legasinya terus mekar dan sentiasa dalam ingatan keluarga.

Perbualan dengan anaknya baru-baru ini jelas menunjukkan perniagaan keluarga itu sudah menjadi darah daging mereka.

Malah sesiapa pun akan dapat berasakan betapa bersemangat dan terujanya adik-beradik ini apabila bercakap mengenai cendol, selain rasa penghargaan yang tinggi terhadap pengorbanan bapa yang sanggup bekerja keras mencari rezeki buat keluarga besar mereka.

Minat yang sama dengan masing-masing mengusahakan perniagaan cendol membuatkan hubungan keluarga berkenaan menjadi sangat erat dan saling menyumbang idea bagi memastikan ia terus menjadi warisan.

Resipi warisan

Walaupun sudah tujuh dekad berlalu, sebut saja nama ‘Cendol Haji Mohaideen’, ramai pelanggan sudah dapat membayangkan keenakannya, ditambah pula apabila dinikmati ketika cuaca panas.

Menurut Abdul Rahman Mohaideen, 56, ayahnya sememangnya terkenal dengan cendol yang dihasilkan sendiri sambil dibantu ibu, Maria Abdul Rahman, 84, tanpa sebarang bahan pengawet, pewarna atau perasa tiruan.

Katanya, bapanya menggunakan basikal roda tiga untuk menjaja cendol dari rumah ke rumah, sekitar sekolah dan kawasan estet, mengayuh dalam jarak yang jauh dari Kajang, Bangi sehingga ke Batu Tiga di Shah Alam.

Kenangan jari bapanya terluka ketika memotong ais menggunakan pemotong ais jenis lama masih segar di ingatannya.

Atas kerja keras bapa, mereka sekeluarga mampu duduk di rumah sendiri, dibesarkan dengan baik malah bapanya masih mampu menghantar duit belanja kepada keluarga di India.

“Perniagaan ini juga dibantu ibu dan kami adik-beradik. Ibu akan menyiapkan tiga baldi besar atau kira-kira 60 liter cendol.

“Ketika itu, satu mangkuk kecil dijual 10 sen dan mangkuk besar dijual dengan harga 20 sen. Lumayan juga ketika itu kerana ayah akan membawa pulang kira-kira RM80 sehari,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Ramal, Kajang, baru-baru ini.

Lebih menarik, menurut Abdul Rahman, resipi cendol keluaran keluarganya tetap sama dan tidak pernah berubah sejak diusahakan ayahnya.

Ia menggunakan daun pandan untuk memberi warna, rasa dan bau yang harum, selain tepung beras asli tanpa sebarang campuran bahan lain.

Katanya, apabila ayahnya uzur, dia mengambil alih tanggungjawab menjual cendol pada usia 16 tahun apalagi dia mengakui memiliki minat mendalam dalam perniagaan itu kerana banyak meluangkan masa membantu ayahnya berniaga.

“Sejak awal lagi, saya memang sudah tahu akan mengusahakan perniagaan ini kerana sangat minat berniaga cendol, apatah lagi sering membantu ayah di gerai.

“Malah, bukan saya saja, semua adik-beradik mengusahakan perniagaan cendol tetapi lima daripada kami benar-benar mengusahakannya secara serius.

“Selain berniaga di gerai, kami juga membekalkan cendol di pasar malam, pasar raya NSK dan mengikut tempahan individu atau peniaga,” katanya.

Cendol pengerat keluarga

Selepas Abdul Rahman mengambil alih perniagaan itu, pada awalnya dia menjaja dengan basikal ayahnya tetapi kemudian membeli motosikal roda tiga untuk memudahkannya bergerak dan menjaja di lebih banyak tempat.

Hasil berniaga juga dikumpul sedikit demi sedikit untuk membeli mesin lebih moden dan kini ia diusahakan menggunakan trak makanan di sekitar Kajang dan Bangi.

Minat berniaga itu turut dikongsi adiknya, Omar, 54; Yusuf, 52; Zainab, 50; Nabisa, 55, dan kakaknya Khadiaah, 62 tahun.

Perniagaan itu juga membantu mengeratkan hubungan kekeluargaan mereka malah keakraban berkenaan jelas kelihatan apabila sering bergurau dan bergelak ketawa.

Menurut Abdul Rahman, keluarga mereka memiliki hubungan yang sangat rapat dan harmoni kerana sama-sama pernah merasai sendiri kesusahan mencari rezeki. Apa saja keputusan yang hendak dibuat, akan dibincangkan secara bersama.

Malah, rumah ibu mereka sentiasa dipenuhi anak, cucu dan cicit yang datang bertandang bertemu sanak-saudara. Setiap minggu, tiga hingga empat keluarga akan pulang untuk berkumpul bersama dan menjelang Aidilfitri pula, kira-kira 200 ahli keluarga biasanya memenuhi rumah berkenaan, membuatkan kehidupan mereka tidak pernah sunyi.

Menyingkap kisah lalu, ibu mereka, Maria berkata, ketika anak masih kecil, kehidupan agak sukar dan hidangan keluarga disediakan menggunakan dapur kayu.

Menurutnya, ketika itu kadangkala ketidakcukupan wang membuatkan mereka terpaksa mencatu makanan misalnya jika ada masakan telur, mereka perlu memilih sama ada untuk makan telur pada waktu siang ataupun malam.

“Sebiji telur kadang-kadang dibelah-belah, supaya boleh makan sebagai lauk siang dan malam. Ini kerana ahli keluarga yang ramai memerlukan perbelanjaan lebih,” katanya.

Maria juga bukan saja membantu suaminya menghasilkan cendol tetapi setiap kali Mohaideen pulang ke kampung melawat keluarga di India, wanita tabah itu akan mengambil alih sementara semua urusan menjaga anak selain berniaga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 12:09 PM