Kajang: Hanya kerana panik disergah anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), seorang pemandu lori pusat pembinaan nekad melarikan diri sehingga merempuh kenderaan penguat kuasa sebelum meloloskan diri.

Dalam kejadian jam 10 pagi di pusat pembuangan sampah Sungai Lalang, Semenyih itu, suspek berusia 43 tahun itu dikatakan masuk ke kawasan berkenaan untuk membuang sisa binaan tanpa kebenaran.

Bagaimanapun, sebaik ditegur oleh anggota penguat kuasa, pemandu itu terus mengundurkan kenderaannya sebelum terlanggar van penguat kuasa serta pagar pusat terbabit.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, sebaik suspek berjaya melarikan diri, pengadu berusia 25 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Kajang.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, polis menyerbu sebuah pusat pembinaan berhampiran dan menahan suspek bersama kenderaan yang digunakan.

“Berdasarkan siasatan awal, pengadu ada mengarahkan suspek supaya berhenti dan turun daripada kenderaannya, bagaimanapun suspek ingkar dan terus mengundurkan kenderaannya.

“Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kenderaan yang dipandu suspek disita oleh MPKj,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 7:54 AM