seorang suspek yang  menghalang lori MPKj.
seorang suspek yang menghalang lori MPKj.
ANGGOTA  Penguatkuasa MPKj menjalankan operasi menyita lembu yang berkeliaran di kawasan perumahan di Bandar Sungai Long.
ANGGOTA Penguatkuasa MPKj menjalankan operasi menyita lembu yang berkeliaran di kawasan perumahan di Bandar Sungai Long.
Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kajang: Sekumpulan ‘samseng lembu’ bertindak ganas memecahkan cermin lori Jabatan Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) selepas tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa merampas haiwan peliharaan mereka.

Dalam kejadian jam 4.30 petang kelmarin, anggota MPKj dikatakan menangkap dua lembu liar milik suspek selepas haiwan itu didapati berkeliaran di kawasan perumahan Bandar Sungai Long di sini.

Operasi sitaan lembu itu dilakukan selepas pihak MPKj menerima aduan orang ramai berhubung kehadiran lembu yang mengotorkan kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, anggota MPKj dapat menangkap dua lembu sebelum memindahkannya ke dalam lori.

Menurutnya, lori MPKj itu bagaimanapun dihalang dua lelaki yang mendakwa sebagai pemilik lembu disita itu.

“Lelaki yang menunggang motosikal itu cuba melakukan halangan dari arah hadapan, namun pemandu lori itu enggan mengendahkannya sebelum meneruskan perjalanan.

“Suspek yang tidak berpuas hati memecahkan cermin lori itu menggunakan topi keledar sebaik lori berkenaan melalui Sekolah Menengah Sungai Long,” katanya.

Menurutnya, suspek naik ke atas lori itu sebelum memotong tali yang mengikut lembunya itu.

“Dia melepaskan lembunya sebelum menumbuk seorang anggota penguat kuasa MPKj terbabit,” katanya.

Menurutnya, dua lagi lelaki yang juga rakan suspek muncul dan membantu menurunkan lembu itu dari lori.

“Seorang suspek sempat menyelongkar beg anggota penguat kuasa MPKj dan melarikan telefon bimbit mangsa.

“Susulan itu anggota MPKj segera membuat laporan di Balai Polis Kajang di sini,”katanya.

Ab Rashid berkata, anggota polis segera mengambil tindakan sebelum menahan tiga suspek berusia 18 hingga 36 tahun.

“Suspek kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu Pengarah Penguatkuasaan MPKj Shahriman Mohd Nor berkata, kejadian itu amat mengejutkan, namun pihaknya meneruskan tindakan mengikut Enakmen Lembu/Kerbau negeri Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 9:26 AM