Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dipanggil untuk memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 5 Ogos depan.

Pada masa sama, bekas CEO 1MDB Datuk Shahrul Ibrahim Halmi pula akan dipanggil sehari sebelum itu.

Mereka dipanggil secara berasingan untuk memberi penjelasan berkaitan 1MDB.

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihaknya menghantar surat kepada Kementerian Kewangan memaklumkan perkara itu minggu lalu.

“Tiada alasan untuk kedua-dua individu berkenaan tidak hadir kali ini kerana notis enam hingga tujuh minggu diberi kepada mereka.

“Surat berkenaan juga diserah kepada Kementerian Kewangan dan 1MDB, saya percaya Arul Kanda serta Shahrul sudah menerimanya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Menurut Nur Jazlan, tempoh panjang pasti diambil untuk mendapatkan penjelasan daripada dua individu berkenaan dan kerana itu, kedua-duanya dipanggil secara berasingan.

“Kedua-duanya juga bukan terbabit dengan 1MDB dalam masa yang sama sebaliknya Shahrul Ibrahim yang mula-mula dilantik sebagai CEO 1MDB sebelum Arul Kanda dilantik ke jawatan berkenaan.

“PAC juga memanggil mereka pada Ogos kerana mahu memberi masa untuk kedua-duanya menyiapkan diri dengan penjelasan yang perlu diberi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 5:12 AM