Bentong: Sebanyak 15 kes wabak malaria dikenal pasti berlaku di tiga kawasan di Pahang membabitkan daerah ini, Karak dan Raub sejak April lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri Datuk Norol Azali Sulaiman berkata, kawasan dikenal pasti terbabit adalah rumah kongsi di Fullbow Memorial Park di Karak, Kampung Sungai Gapoi di Bentong dan rumah kongsi Ah Keong Hill, Raub.

“Sebanyak tujuh kes direkodkan di Kampung Sungai Gapoi yang dikesan pada 9 Mei lalu manakala lima kes di rumah kongsi Fullbow (28 April lalu) dan tiga kes di rumah kongsi Ah Keong Hill, (30 Mei lalu).

“Semua kes di tiga kawasan ini dikenal pasti berpunca daripada warga asing. Bagaimanapun, keadaan masih terkawal dan Kementerian Kesihatan sudah melakukan tindakan dan pemantauan secara berterusan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Hari Malaria Sedunia peringkat negeri, di sini, semalam.

Norol Azali berkata, Jabatan Kesihatan melakukan pemantauan di kawasan wabak berkenaan dan tiada kes baru serta kematian direkodkan setakat ini.

“Pemantauan turut dilakukan secara berterusan di seluruh negeri bagi mencegah kejadian demam malaria yang berbahaya dan boleh menyebabkan kematian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 9:23 AM