JALAN Lama Bentong-Raub berhampiran Kampung Sungai Chetang yang runtuh sepanjang 60 meter  berikutan hujan lebat. FOTO Roselan Ab Malek
JALAN Lama Bentong-Raub berhampiran Kampung Sungai Chetang yang runtuh sepanjang 60 meter berikutan hujan lebat. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek

Raub: Sebanyak RM1.2 juta diperlukan untuk membaiki laluan Jalan Lama Bentong-Raub berhampiran Kampung Sungai Chetang, di sini, yang runtuh sepanjang 60 meter akibat hujan lebat, malam kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata, kejadian itu menyebabkan pembetung sepanjang 20 meter dan berdiameter 1.5 meter itu tidak dapat menampung aliran sungai yang naik mendadak sehingga menyebabkan limpahan berlaku.

"Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah akan membaiki dan bercadang menaik taraf pembetung itu dengan kos dianggarkan RM1.2 juta yang akan dimohon kepada Ibu Pejabat JKR pada minggu ini.

"Jalan itu terpaksa ditutup demi keselamatan rakyat kerana terdapat potensi runtuhan tanah lebih besar boleh berlaku disebabkan aliran air pada musim tengkujuh sekarang," katanya.

Beliau berkata, pada masa ini, pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan utama jalan persekutuan Bentong-Raub sebagai laluan alternatif sehingga jalan itu dibuka semula.

Menurutnya, makluman penutupan jalan itu dihebahkan di Faceboook JKR Daerah Raub selain pihak konsesi penyenggaraan jalan iaitu Roadcare (M) Sdn Bhd, diarahkan untuk memasang papan makluman penutupan jalan.

Sementara itu, Ketua Kampung Sang Lee, Datuk Wong Tuck Weng berkata, laluan itu adalaah jalan alternatif kepada pengguna jalan raya dari Bentong menghala ke pusat pelancongan Bukit Fraser dan laluan utama kepada penduduk di kampung berhampiran.

Menurutnya, jalan itu sudah terhakis dan berbahaya kepada pengguna jalan raya.

Berita berkaitan

Jalan lama Bentong-Raub ditutup

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 5:40 PM