ABD Latif  (kiri) melihat anak didiknya menunjukkan fungsi sebuah mesin yang digunakan dalam proses pembelajaran dalam bidang mekanikal pembuatan di Kolej Komuniti Kepala Batas, Bertam.
ABD Latif (kiri) melihat anak didiknya menunjukkan fungsi sebuah mesin yang digunakan dalam proses pembelajaran dalam bidang mekanikal pembuatan di Kolej Komuniti Kepala Batas, Bertam.

Mahu memenuhi aspirasi pendidikan negara bagi menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berkualiti mendorong Kolej Komuniti di seluruh negara menyedia dan menawarkan kursus dan latihan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berkelayakan.

Kemampuan kolej berkenaan menyediakan tenaga kerja itu selari dengan usaha kepemimpinan negara menuju status negara maju pada 2020.

Tidak ketinggalan Kolej Komuniti Kepala Batas (KKKB), Pulau Pinang, yang turut menawarkan program pembelajaran terkini termasuk pengajian Sijil Mekanikal Pembuatan.

Program berkenaan yang diperkenalkan sejak 2001 bukan saja mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), malah mampu melahirkan tenaga kerja terlatih seperti jurumesin Kawalan Berangka Komputer (CNC), pengatur cara CNC, pelukis pelan mekanikal (CADD), juruteknik industri serta juruteknik automasi.

Keperluan terhadap tenaga kerja mahir turut menyebabkan kolej berkenaan menjadi pilihan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terutama yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti awam (UA) berikutan syarat kemasukan yang lebih mudah.

Pengarah KKKB Abd Latif Ahmad berkata, keperluan negara terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi terutama dalam sektor pembuatan mendorong pihaknya memberi tumpuan pada program Mekanikal Pembuatan.

Beliau berkata, program itu selari dengan keperluan pasaran tenaga kerja masa kini berikutan hanya 28 peratus tenaga kerja di negara ini dikategorikan berkemahiran tinggi.

“Ketika ini bidang kemahiran tidak lagi dilihat sebagai ‘second class’, namun sudah menjadi keperluan kepada negara yang dalam usaha mencapai status negara maju 2020.

“Pada masa sama, syarat kemasukan ke Kolej Komuniti juga mudah kerana pemohon hanya perlu berusia 17 tahun ke atas serta berkelulusan SPM dengan kepujian dalam Matematik,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Menurutnya, kadar yuran dikenakan juga berpatutan dengan hanya RM200 setiap semester selain biasiswa RM1,200 setiap semester bagi pelajar yang mempunyai pendapatan keluarga kurang daripada RM3,000.

Manakala, bantuan kewangan RM250 sebulan kepada kepada pelajar berstatus orang kurang upaya (OKU).

Katanya, program Sijil Mekanikal Pembuatan hanya membabitkan tempoh 16 bulan atau empat semester dengan tiga semester pembelajaran di kolej, manakala satu semester dalam industri pembuatan.

Beliau berkata, pelajar kolej turut didedahkan kepada situasi pekerjaan sebenar dalam sektor industri seperti lukisan kejuruteraan, automasi industri, pemesinan konvensional serta kawalan kualiti.

Menurut Abd Latif, lulusan kolej itu tidak perlu bimbang mengenai peluang pekerjaan selepas tamat kursus kerana pihaknya menjalin kerjasama dengan lebih 500 syarikat yang bersedia mengambil mereka sebagai tenaga kerja.

“Antara syarikat berkenaan ialah Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang, Kulim Technology Park Sdn Bhd, Mattel (M) Sdn Bhd, First Solar Malaysia Sdn Bhd, HiCOM Diecasting Sdn Bhd dan SONY EMCS (M) Sdn Bhd.

“Jika pelajar masih tidak mahu bekerja selepas tamat kursus, mereka juga boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma Kejuruteraan Mekanikal di universiti teknikal tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 8:46 AM