Ranau: Malim gunung, Ricky Masirin, 28, yang terkorban dalam kejadian gempa bumi di Gunung Kinabalu, Jumaat lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kristian Kampung Kauluan, petang semalam.

Bapa saudara mendiang, Jolis Boliking, 47, berkata, Ricky sepatutnya mengikat tali pertunangan pada Oktober depan, namun tidak kesampaian.

“Pemergian Ricky satu kehilangan besar buat kami terutama ibunya, Maina Boliking, 56, memandangkan Ricky agak rapat dengannya.

“Mayat mendiang selamat tiba di rumah jam 11.30 malam semalam (kelmarin) selepas dibedah siasat di Hospital Queen Elizabeth,” katanya ketika ditemui di Kampung Kauluan, Kundasang, di sini, semalam.

Menurutnya, Ricky anak keenam daripada tujuh beradik mula bekerja sebagai malim gunung sekitar 2013.

“Ricky bertugas mengikut syif iaitu selama 15 hari. Pada hari kejadian adalah hari ke-14 Ricky bertugas dan dijadualkan pulang pada keesokan harinya.

“Sebaik saja gempa bumi berlaku, ibunya mula tidak sedap hati kerana mengetahui Ricky berada di puncak kerana mengikuti rombongan pelajar sekolah dari Singapura.

“Mereka cuba menghubungi telefon bimbit Ricky, namun panggilan tidak berjawab,” katanya.

Jolis berkata, ketika itu, mereka seakan-akan sudah dapat mengagak perkara buruk menimpa Ricky menyebabkan ibunya segera ke Taman Kinabalu bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Menurut rakan sekerjanya, Ricky bersama kumpulan pelajar dari Singapura sedang melalui kawasan Via Ferrata ketika gegaran berlaku.

“Mereka melihat Ricky terhempas di batu dan cuba untuk melepaskan ikatan tali di badannya, namun gagal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 9:34 AM