LALUAN Lebuhraya Sultan Iskandar dari arah Parlimen ditutup kepada semua jenis kenderaan selepas berlaku keretakan dan mendapan berikutan kerja pembinaan yang dijalankan berhampiran lokasi berkenaan.
LALUAN Lebuhraya Sultan Iskandar dari arah Parlimen ditutup kepada semua jenis kenderaan selepas berlaku keretakan dan mendapan berikutan kerja pembinaan yang dijalankan berhampiran lokasi berkenaan.

Kuala Lumpur: Laluan Lebuhraya Sultan Iskandar dari arah Parlimen ditutup sepenuhnya bagi kegunaan kenderaan selepas berlaku keretakan dan mendapan jalan di kawasan itu.

Penutupan jalan dilakukan anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pasukan bomba dan penyelamat kira-kira jam 7.30 malam semalam, selepas keretakan dan mendapan dikesan bertambah teruk berikutan hujan lebat.

Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, maklumat berhubung kejadian itu diterima pihaknya kira-kira jam 2 petang semalam sebelum pemantauan dilakukan.

“Keretakan dan mendapan berlaku di lorong paling kiri sebelum lorong itu diarahkan ditutup sepenuhnya bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku.

“Kejadian hujan lebat menyebabkan keadaan bertambah teruk dan boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Katanya, kerja-kerja pembaikan dijangka akan dilakukan pihak DBKL dan kontraktor selewat-lewatnya pagi ini.

“Anggota polis trafik turut dihantar ke lokasi kejadian bagi melancarkan aliran trafik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 8:46 AM