KERETAKAN di laluan Lebuhraya Sultan Iskandar. FOTO ihsan DBKL
KERETAKAN di laluan Lebuhraya Sultan Iskandar. FOTO ihsan DBKL
Oleh Asmah Rusman


Kuala Lumpur: Laluan Lebuhraya Sultan Iskandar dari arah Parlimen ditutup sepenuhnya bagi semua jenis kenderaan selepas berlaku keretakan dan mendapan berikutan kerja-kerja pembaikan jalan yang dijalankan berhampiran lokasi berkenaan.

Difahamkan, kerja-kerja penutupan jalan sedang dilakukan anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pasukan bomba dan penyelamat ketika ini selepas keretakan dan mendapan di laluan bertambah teruk kerana hujan lebat.

Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner  Mohd Nadzri Hussain berkata, maklumat berhubung kejadian itu diterima kira-kira 2 petang tadi dan pemantauan secara berterusan di lokasi kejadian sedang dijalankan.

"Keretakan dan mendapan berlaku di lorong paling kiri sebelum lorong itu diarahkan ditutup bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku.

"Bagaimana pun, hujan lebat menyebabkan keadaan bertambah teruk dan boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya tambahan pula, aliran trafik bertambah sesak berikutan pengguna pulang daripada kerja," katanya.

Katanya, kerja-kerja pembaikan dijangka akan dijalankan malam ini atau selewat-lewatnya esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 8:10 PM