MAYAT kedua-dua mangsa di lokasi nahas.
MAYAT kedua-dua mangsa di lokasi nahas.
Oleh Omar Osman

Sungai Petani: “Saya tidak sangka permintaan Nadia untuk memakan anggur, mi segera dan membeli baju baru petanda arwah akan pergi meninggalkan saya selama-lamanya,” kata Fadzliah Baharom, 47, ibu kepada Nadia Md Abdul Rahman, 19, remaja yang maut bersama rakannya selepas motosikal yang mereka naiki merempuh belakang sebuah lori, semalam.

Dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, mangsa dan rakannya, Nurul Syuhada Roslan, 20, menunggang motosikal dari arah Sungai Jagung, Sungai Layar menuju Taman Nilam dan sebaik tiba di Jalan Lencongan Barat, mereka gagal mengelak lori membawa muatan tiang elektrik yang berhenti di laluan motosikal sebelum merempuh kenderaan itu.

Menurutnya, arwah anaknya sebelum ini bermalam di rumah ibu saudaranya di Kampung Che Bema, Sungai Layar dan menghubunginya meminta membelikan sehelai kemeja baru dan teringin untuk makan tiga jenis anggur iaitu hitam, merah dan hijau selain mahu menikmati mi segera perisa tomyam.

“Selepas pulang ke rumah kelmarin, arwah meminta barangan dipesan dan dia memakan anggur serta mi segera itu dengan begitu berselera.

“Selepas selesai makan, dia keluar semula menuju ke rumah ibu saudaranya selepas Maghrib dan itu kali terakhir saya bertemunya,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 7:47 AM