SUSPEK yang diburu polis kerana terbabit dalam kejadian rogol dan samun tanpa senjata api.
SUSPEK yang diburu polis kerana terbabit dalam kejadian rogol dan samun tanpa senjata api.
Oleh Junaidi Ladjana dan Mohd Ruzaini Zulkepli

Labuan: Seorang tukang masak wanita melalui detik hitam kerana bukan saja ditendang di bahagian perut, malah disamun sebelum dirogol secara bergilir-gilir empat lelaki tidak dikenali di dalam kereta di kawasan tidak diketahui, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 3 pagi itu, mangsa yang berusia 29 tahun dikatakan baru saja pulang dari tempat kerjanya di Lanuan dan dalam perjalanan menuju ke kuarters pekerja berhampiran Restoran Island Garden, di sini.

Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa secara tiba-tiba didatangi kereta Honda City berwarna putih yang dinaiki empat lelaki tidak dikenali.

Ketika kereta berkenaan berhenti dan seorang daripada suspek menarik tangan mangsa sebelum menendang perut wanita itu sambil menarik beg tangan dimilikinya.

Mangsa yang mengerang kesakitan akibat ditendang diheret pula masuk ke dalam kenderaan itu lalu dibawa lari kumpulan suspek berkenaan.

Setibanya di satu tempat yang tidak diketahui, keempat-empat lelaki itu merogol mangsa bergilir-gilir dalam kereta itu sebelum mereka melarikan diri dari tempat kejadian.

Menyedari semua suspek beredar, mangsa yang mengalami kecederaan bergegas ke balai polis terdekat membuat laporan berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Superintendan Adzhar Othman berkata, bertindak ke atas maklumat, pasukan anggota menjalankan siasatan dan mengesan kenderaan yang dipercayai digunakan suspek berhampiran kedai Seri Malindo, dekat sini.

“Kami menemui Honda City berkenaan berhadapan restoran, dekat sini, pada jam 11.17 malam semalam selepas didapati terbabit dalam kejadian rogol terbabit.

“Polis juga mengenal pasti seorang daripada suspek dikenali sebagai Muhammad Abi Zarr Mohd Yusof yang berusia 23 tahun dan beralamat terakhir di Taman Guan Huat, Jalan Batu Arang 2, Labuan kerana dipercayai terbabit dengan kes ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, sementara tiga lagi suspek lelaki berusia lingkungan 23 hingga 27 tahun masih diburu.

“Mangsa kini dilaporkan stabil sebaik mendapatkan rawatan di Hospital Nukleus, Labuan.

“Mangsa juga difahamkan kerugian RM400 dan telefon bimbit jenama Sony Experia dalam kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu boleh menelefon 087-411111 (IPD Labuan), 087-4630008 (Balai Polis Bebuloh), 087-468555 (Balai Polis Lubok Temiang) dan 087-410067 (Balai Polis Rancha-Rancha).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 8:22 AM