Ipoh: Seorang pesalah trafik yang mempunyai 18 waran tangkap akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Manjung, dekat sini hari ini selepas berjaya diberkas dalam Ops Warta yang dijalankan semalam.

Pegawai Turus Trafik Perak Deputi Superintendan Mahiri Hussin berkata, lelaki berusia 28 tahun berkenaan yang bekerja dengan syarikat perkapalan di Manjung, dikesan memiliki 18 waran tangkap dengan 17 daripadanya dikeluarkan polis Perak, manakala satu lagi di negeri lain.

Menurutnya, waran tangkap berkenaan membabitkan saman tiada lesen memandu dan semakan turut mendapati lelaki itu mempunyai enam lagi saman, namun belum dikeluarkan waran tangkap.

“Pesalah trafik berkenaan akan didakwa di mahkamah esok (hari ini) dan buat masa ini, dia diberi jaminan sehingga esok dengan seorang penjamin.

“Semua 17 kesalahan yang dilakukan adalah di sekitar daerah Manjung dan dia ditahan dalam sekatan jalan raya yang diadakan di kawasan berkenaan petang tadi (semalam),” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mahiri berkata, sepanjang Ops Warta dijalankan bermula 19 Mei lalu sehingga lewat petang semalam, 158 pesalah trafik yang mempunyai waran tangkap berjaya diberkas, manakala seramai 824 pesalah pula menyerah diri dan membayar saman yang tertunggak.

“Daripada 158 yang ditahan, 123 diberi jaminan polis dan 35 lagi didakwa di mahkamah dengan 32 pesalah trafik didenda dan seorang dipenjarakan serta dua lagi dikenakan jaminan oleh mahkamah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 10:00 AM