FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Harga makanan di kebanyakan kantin sekolah di daerah ini didakwa meningkat antara 50 sen hingga RM1 menyebabkan timbul rasa tidak puas hati di kalangan ibu bapa.

Mereka mendakwa peningkatan harga makanan itu berlaku mulai sesi persekolahan yang bermula Selasa lalu.

Sebagai contoh, harga bihun dan mi goreng kosong tanpa telur sebelum ini hanya RM1.50 kini RM2, nasi berlauk ayam kebanyakannya RM2 hingga RM2.50, kini naik kepada RM3.

Seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Faridah, 45, berkata dia terkejut dengan kenaikan harga makanan di kantin sekolah anaknya sejak sesi persekolahan dibuka, baru-baru ini.

"Jika sebelum ini anak saya membawa duit RM3 ke sekolah, dia boleh membeli nasi dan makanan lain, namun kini dengan RM3, dia hanya mampu membeli nasi.

"Susulan kenaikan harga makanan itu, saya ada mengutarakan kepada pihak sekolah dan mereka mendakwa harga terpaksa dinaikkan kerana kos bahan mentah juga mengalami kenaikan.

"Bagi saya yang mempunyai tiga anak bersekolah, sudah tentu agak membebankan kerana harga makanan kantin sekolah sepatutnya tidak boleh disamakan dengan harga makanan kedai di luar," katanya.

Perkara sama diutarakan oleh seorang bapa dikenali sebagai Abdullah, 39, yang memaklumkan makanan di kantin sekolah anaknya juga mengalami kenaikan.

"Sebelum ini ayam goreng hanya RM2 seketul, namun kini RM3 seketul, begitu juga dengan makanan-makanan lain.

"Saya berharap pihak sekolah memantau harga makanan di kantin supaya ia tidak membebankan golongan ibu bapa," katanya.

Sementara itu, pengusaha kantin sebuah sekolah di Kota Bharu yang mahu dikenali sebagai Syahbudin mengakui dia sendiri menaikkan harga makanan.

"Perlu diingat kita bukan suka-suka mahu naikkan harga makanan, masalahnya barangan mentah pun sudah mahal, macam mana kami nak jual dengan murah.

"Malah, ada ibu bapa yang tidak berpuas hati marah kerana saya naikkan harga makanan dan mengatakan nasi RM3 adalah mahal, namun saya tidak lagi mampu untuk menjual murah kerana memang tiada untung.

"Setiap barangan bermula bawang, telur dan sebagainya mengalami kenaikan, jika saya masih dengan harga yang lama, macam mana kami nak bertahan untuk terus berniaga jika tidak mendapat keuntungan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 3:33 PM