KEBAKARAN kedai di Jalan Sultan Abdul Samad, Pekan Banting.
KEBAKARAN kedai di Jalan Sultan Abdul Samad, Pekan Banting.

Banting: “Ketika sedang tidur, kami sekeluarga dikejutkan dengan bunyi seperti benda sedang dibakar di bahagian bawah rumah yang menempatkan restoran yang diusahakan.

“Tanpa berlengah ayah turun untuk meninjau keadaan sebelum memanggil kami supaya menyelamatkan diri selepas melihat api marak,” kata Wong Kian Hin, 47, mengenai kebakaran yang memusnahkan restoran dan rumahnya di Jalan Sultan Abdul Samad, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.45 pagi itu, tiga lagi rumah kedai yang terletak bersebelahan turut musnah.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan mereka sekeluarga gagal menyelamatkan sebarang harga dan dokumen penting..

Katanya, selain bapa, dia juga tinggal bersama ibu, tiga adiknya dan rakannya kini terpaksa menumpang sementara di rumah neneknya yang terletak berdekatan.

“Saya kini buntu memikirkan restoran yang menjadi mata pencarian kami sekeluarga kini sudah musnah sekelip mata selain terpaksa menanggung kerugian yang dianggarkan RM200,000 namun bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Teo Yow Beeng, 54, berkata, dia mengetahui kedai motosikal yang diusahakan sejak 26 tahun lalu terbakar selepas dimaklumkan seorang rakan yang kebetulan berada tidak jauh dari tempat kejadian.

Katanya, ketika tiba di kedainya, api sedang marak dan dia gagal menyelamatkan sebarang harga benda.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Banting Mohd Jaslizad Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu jam 5.01 pagi.

Menurutnya, 26 anggota bomba masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Andalas dan Cyberjaya dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Bomba dapat mengawal kebakaran jam 5.57 pagi dan setakat ini, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan bomba,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 9:00 AM