MAT Isa Othman melihat Proton Satria di depan rumah sewa  mereka yang musnah dalam kebakaran di Kampung Keladi. FOTO Azahar Hashim
MAT Isa Othman melihat Proton Satria di depan rumah sewa mereka yang musnah dalam kebakaran di Kampung Keladi. FOTO Azahar Hashim
Azahar Hashim


“KEADAAN ketika itu kelam kabut dan kami sekeluarga terus keluar kerana bimbang keselamatan diri tanpa sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah.”

Itu kata Mat Isa Othman, 59, selepas rumah sewanya di Kampung Keladi, Kulim, musnah dalam kebakaran, pada kira-kira 1 pagi, hari ini.

Kebakaran itu menyebabkan dia kerugian kira-kira RM100,000 selepas dua motosikal terbakar 40 peratus, Proton Satria musnah manakala Toyota Hilux terbakar 30 peratus.

Mat Isa berkata, dirinya, isteri, Nurul Fazlyana Mustafa, 30, dan anak bongsu mereka berusia 17 bulan tidur di bilik utama ketika kejadian.

Menurutnya, dua lagi anak perempuan, masing-masing berusia 11 dan 15 tahun dan anak lelaki berumur sembilan tahun tidur di bilik lain di tingkat bawah.

“Kami baru nak terlelap sebelum anak sulung (Maisarah) memberitahu kebakaran. Kami terus berlari keluar rumah.

“Kebakaran itu dipercayai bermula di dapur. Kini, kami tinggal sehelai sepinggang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, kebakaran itu turut mengorbankan kucing Parsi yang baru dua hari dipelihara.

Maisarah pula berkata, ketika kejadian, dia baru hendak terlelap sebelum terdengar seperti orang menghidupkan api.

Katanya, pada mulanya dia sangka bapanya membakar sesuatu sebelum terhidu seperti ada benda terbakar.

“Saya kemudian keluar dari bilik. Tapi, terkejut apabila melihat api sedang marak di dapur. Saya terus mengejutkan ibu bapa serta adik-beradik yang lain untuk menyelamatkan diri.

“Sebaik kami keluar api terus marak dan memusnahkan rumah serta harta benda lain. Jiran yang melihat kejadian kemudian menghubungi bomba,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Yusri Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.02 pagi.

Katanya, pasukan bergegas ke tempat kejadian bersama dua jentera, ambulans Perkhidmatan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan bantuan jentera daripada BBP Kulim Hi-Tech dengan 13 anggota.

“Sebaik tiba di tempat kejadian usaha memadam kebakaran dijalankan dan api dapat dikawal kira-kira 10 minit kemudian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 3:12 PM