GERAI jualan sempena PenBEX pada tahun lalu di Dataran Transformasi Usahawan Kubang Menerong, Tasek Gelugor.
GERAI jualan sempena PenBEX pada tahun lalu di Dataran Transformasi Usahawan Kubang Menerong, Tasek Gelugor.

Butterworth: Ekspo Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (PenBEX) 2016, inisiatif memperkasakan usahawan Bumiputera dan menjadi platform terbaik bagi mempromosikan produk yang diusahakan.

PenBEX 2016 anjuran Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) dan Jawatankuasa Fokus Group Pembangunan Usahawan dan Koperasi Bumiputera Pulau Pinang itu diadakan buat kali ke-15.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Fokus Group Pembangunan Usahawan dan Koperasi Bumiputera Pulau Pinang, Datuk Mohd Zain Ahmad berkata, ia diadakan bertujuan membantu meningkatkan pendapatan dan membuka ruang kepada perniagaan yang berpotensi ke tahap lebih tinggi.

Beliau berkata, bertepatan dengan tema ‘Mula Berdikit, Azam Melangit, Usahawan Global Menjadi Realiti’, ekspo itu juga dapat mewujudkan jaringan perniagaan dan persaingan sihat dalam kalangan usahawan Bumiputera.

Katanya, ekspo itu juga bagi menggalakkan lebih ramai usahawan Bumiputera menyertai program berbentuk promosi itu.

“Melalui promosi, ia mampu meningkatkan pendapatan bagi usahawan dan meningkatkan potensi perniagaan mereka.

“Di samping itu, ia juga memberi peluang kepada pengunjung untuk membuat pilihan bagi perkhidmatan dan produk yang disediakan,” katanya.

Sebanyak 352 ruang niaga yang disediakan bagi PenBEX 2016 yang berlangsung di Dataran Transformasi Usahawan, Kubang Menerong, Tasek Gelugor, di sini, sehingga 4 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2016 @ 5:10 AM