KHALIQ Mehtab (dua dari kanan) sambil diperhatikan Mohd Asri (tengah) menyampaikan surat cara tawaran kepada peserta sempena
KHALIQ Mehtab (dua dari kanan) sambil diperhatikan Mohd Asri (tengah) menyampaikan surat cara tawaran kepada peserta sempena
Oleh Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) memperuntukkan RM200,000 bagi membantu 10 syarikat Bumiputera di bawah bimbingan agensi itu mendapatkan pensijilan halal tahun ini.

Setiap syarikat yang terpilih masing-masing menerima bantuan RM20,000 dengan pecahan RM10,000 untuk perkhidmatan perundingan manakala selebihnya bagi pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf premis perniagaan.

Pengerusi Perda Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, pihaknya berharap, dengan pensijilan halal yang diperoleh kelak, ia dapat membantu usahawan Bumiputera memasarkan produk mereka bukan sahaja dalam negara malah menembusi pasaran luar.

"Menyedari perkara ini, menjadi hasrat Perda untuk membantu usahawan Bumiputera yang mana tahun ini kita memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi membantu 10 syarikat.

"Bukan sahaja kita beri bimbingan dan kursus malah ada penasihat yang akan membantu untuk mendapatkan pensijilan halal daripada awal hingga selesai," katanya selepas majlis pelancaran Program Pensijilan Halal PKS Perda di Hotel Ixora Perai, semalam.

Hadir sama Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) Perda Mohd Asri Baharum.

Jelasnya, Perda berhasrat untuk membantu lebih ramai usahawan Bumiputera bagi mendapatkan pensijilan halal pada masa depan.

"Buat permulaan, kita bantu 10 syarikat dahulu dan apabila kita nampak keberhasilannya, kita akan berusaha mencari dana melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk membantu lebih ramai lagi usahawan.

"Kita mahu lebih ramai usahawan Bumiputera mendapatkan pensijilan halal ini, sekali gus dapat bersaing dengan usahawan bukan Bumiputera," katanya.

Khaliq Mehtab berkata, berdasarkan rekod, ketika ini, ada 552 syarikat dengan 10,892 jenis produk berdaftar di Pulau Pinang memperoleh pensijilan halal.

Namun bagi syarikat Bumiputera, kata beliau, angkanya agak kecil.

Jelasnya, produk halal bukan sahaja mendapat tempat dalam kalangan pengguna beragama Islam semata-mata.

"Ini boleh dilihat apabila pengguna daripada pelbagai latar belakang agama serta pelbagai organisasi di peringkat antarabangsa semakin menitikberatkan nilai halal kerana ia serasi dengan usaha meningkatkan kesejahteraan kesihatan dan sosial, melindungi alam sekitar dan etika perniagaan.

"Dalam konteks Malaysia, mengikut laporan dalam Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030), trend permintaan domestik oleh pengguna beragama Islam bagi keseluruhan jenis produk halal didapati semakin meningkat," katanya.

Mengulas lanjut, Khaliq Mehtab berkata, usahawan di negara ini bertuah kerana standard pensijilan halal Malaysia adalah sesuatu yang bernilai serta diberi pengiktirafan di peringkat dunia.

"Pada ketika ini, Malaysia adalah sebuah kerajaan Islam yang menjadi pelopor kepada pengeluaran sijil halal kepada pelbagai jenis produk, selain berjaya menyediakan standard halal sendiri iaitu MS1500:2019 yang diiktiraf dunia.

"Hal ini adalah aset yang amat bernilai bagi negara ini untuk muncul sebagai hab halal serantau mahupun antarabangsa. Bahkan banyak negara khususnya dari Timur Tengah menerima dan berminat dengan produk halal keluaran Malaysia.

"Oleh itu, menjadi hasrat kita untuk membimbing lebih ramai usahawan mendapatkan pensijilan halal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 2:26 PM