Kuala Terengganu: Bermodalkan sebatang besi berbentuk L, beberapa penyamun mengaut keuntungan ribuan ringgit selepas memecah masuk lebih 10 kedai pakaian di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Jalan Masjid Abidin, di sini, sejak seminggu lalu.

Dalam kejadian terkini pagi semalam, dua lagi kedai dipecah masuk dan penyamun melarikan wang perniagaan RM1,000 di dalam premis terbabit.

Peniaga pakaian, Mohd Zuwairie Abd Ghani, 28, berkata, kedai rakannya dipecah masuk awal pagi semalam menyebabkan kerugian ribuan ringgit apabila penyamun melarikan pakaian dan wang tunai.

Menurutnya, penyamun itu juga cuba memecah masuk kedainya, tetapi tidak berjaya melarikan sebarang barang berharga kerana kesuntukan masa.

Katanya, dia menyedari kejadian itu ketika memulakan operasi jam 10 pagi sebelum terkejut melihat batang besi berbentuk L terselit pada kunci mangga pintu masuk kedainya.

“Saya terkejut melihat keadaan itu, namun bersyukur kerana penjenayah tidak mematahkan kunci mangga terbabit.

“Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi rakan saya yang kerugian selepas premisnya dipecah masuk penyamun awal pagi tadi (semalam).

“Kejadian sebegini berlanjutan sejak seminggu lalu dan ramai peniaga menjadi mangsa penyamun itu,” katanya ketika ditemui di premisnya di Hentian Bas MBKT, Jalan Masjid Abidin, di sini, semalam.

Peniaga pakaian, Mohammad Fadil, 30, berkata, kes pecah kedai semakin berleluasa apabila tahap keselamatan di premis berkenaan masih rendah dan tidak memuaskan.

Menurutnya, pengawal keselamatan dan kamera litar tertutup (CCTV) yang disediakan tidak mampu menjamin keselamatan harta benda peniaga di premis berkenaan.

Katanya, penyamun itu agak licik dan menyelinap masuk ke deretan premis di tingkat atas tanpa membawa sebarang peralatan.

“Penyamun terbabit hanya menggunakan besi berbentuk L kepunyaan peniaga untuk mengait pakaian yang disangkut tinggi.

“Besi ini ada kalanya tertinggal di luar premis dan kesempatan itulah digunakan penyamun untuk dijadikan alat bagi memecahkan kunci mangga.

“Saya tidak pasti sama ada penyamun menggunakan alat lain untuk memecahkan kunci mangga itu,” katanya.

Dia berharap pihak berkuasa segera menangkap penyamun itu selain sentiasa meningkatkan tahap keselamatan bagi menjaga harta benda peniaga di situ.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, pihaknya sudah menerima laporan daripada mangsa dan tindakan susulan sedang giat dijalankan.

Menurutnya, pihaknya memburu penyamun berkenaan selepas keterangan dan bukti diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 9:55 AM