Langkawi: Semangat perpaduan dan solidariti membuatkan hubungan dalam kalangan negara anggota ASEAN tetap terjalin dengan baik walaupun terdapat perbezaan pendapat dalam isu serantau terutama berkaitan tuntutan bertindih kepulauan Spratly di perairan Laut China Selatan.

Pengerusi ASEAN merangkap Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak berkata, pihaknya menolak dakwaan berlaku perpecahan di antara negara anggota ASEAN berkaitan isu tuntutan bertindih di perairan Laut China Selatan berkenaan.

Menurutnya, hubungan di antara negara ASEAN tetap teguh terutama dalam soal perpaduan dan kebersamaan walaupun wujud perbezaan pendapat dalam isu serantau.

“Dakwaan itu (perpecahan anggota ASEAN) tidak benar kerana perpaduan dan solidariti di kalangan negara anggota ASEAN cukup kuat. Kami mungkin sedikit berbeza dalam pendekatan, namun masih kekal bersatu dalam soal mengekalkan prinsip mengenai kaedah untuk menangani isu di Laut China Selatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan dua persidangan sempena Pemukiman Sidang Kemuncak ASEAN Ke-26 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), di sini, semalam.

Isu kepulauan Spratly di Laut China Selatan menjadi antara agenda Sidang Kemuncak ASEAN kali ini kerana terumbu karang yang sesuai dimajukan sebagai destinasi pelancongan antarabangsa selain kaya dengan sumber galian seperti petroleum dan gas dituntut pelbagai negara termasuk Malaysia, Filipina, Vietnam, China dan Brunei.

Beliau berkata, semua negara anggota ASEAN sentiasa berpegang teguh kepada tiga prinsip walaupun didakwa terdapat tekanan daripada negara China berhubung isu kepulauan berkenaan.

Menurutnya, pihaknya perlu menangani pertikaian yang berlaku dengan kaedah rundingan mesra, selain patuh kepada undang-undang antarabangsa di samping tidak melakukan sebarang tindakan bagi mengelak wujud peningkatan tekanan di rantau itu.

“Memang ada beberapa pandangan dibangkitkan mengenai isu ini dan kita akan terus kekal pada pendirian kita (ASEAN) dengan berpandukan tiga prinsip terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 9:40 AM