Obama menyampaikan ucapan ketika mesyuarat di Sidang Kemuncak Pemimpin AS-ASEAN. Turut  kelihatan Najib dan pemimpin ASEAN yang lain.
Obama menyampaikan ucapan ketika mesyuarat di Sidang Kemuncak Pemimpin AS-ASEAN. Turut kelihatan Najib dan pemimpin ASEAN yang lain.

Pada sidang media selepas selesai hari pertama Sidang Kemuncak Pemimpin Amerika Syarikat (AS)-ASEAN, Datuk Seri Najib Razak ditanya apa yang dianggap rumusan terpenting susulan mesyuarat bersejarah itu.

Jawapan diberi tidak jauh berbeza dengan harapan Presiden AS, Barack Obama dan pemimpin ASEAN lain, iaitu kerjasama strategik AS-ASEAN mesti dipertahan walaupun selepas penggal perkhidmatan Obama berakhir.

Selaku blok ekonomi yang penting, Najib berkata, ASEAN kini bertambah matang.

“Presiden Obama mengorbankan cuti umum hari ini (semalam) untuk menjadi hos sidang kemuncak dan menemui pemimpin ASEAN.

“Ia bermakna ASEAN mendapat pengiktirafan di pentas dunia sebagai blok gagasan 10 negara penting dan mempunyai potensi besar.

“Dengan ekonomi bernilai AS$2.4 trilion (RM10.08 trilion), penduduk seramai 630 juta dan golongan kelas pertengahan yang rancak berkembang, bermakna ASEAN mempunyai potensi besar.

“Dunia sudah mengetahui kita adalah komuniti ekonomi, maka ini bermakna kita perlu menampilkan sepenuhnya potensi ASEAN,” katanya kepada media Malaysia di sini, malam tadi.

Dalam ucapan alu-aluannya, Obama menyifatkan pertemuan dengan 10 pemimpin negara anggota ASEAN yang pertama kali diadakan di bumi Amerika sebagai tanda komitmen peribadinya ke arah perkongsian berpanjangan dengan blok ekonomi yang pesat berkembang.

“Tidak banyak rantau yang menyediakan peluang dalam abad ke-21 seperti Asia-Pasifik.

“Itu sebabnya pada awal penggal perkhidmatan dulu, saya memutuskan Amerika Syarikat sebagai negara Pasifik, akan mengimbangi dasar luar dan berperanan lebih meluas di Asia Pasifik dalam jangka panjang.

“Ini termasuk perbincangan dengan Asia Tenggara dan ASEAN selaku pusat keamanan dan kemakmuran rantau itu, selain berkongsi matlamat membentuk ketetapan serantau dengan setiap negara mematuhi peraturan yang sama,” katanya.

Pada mesyuarat yang diadakan di pusat peranginan Sunnylands, semua pemimpin duduk di meja berbentuk ladam kuda.

Sesuai dengan persekitaran yang santai, semua pemimpin mengenakan sut tanpa tali leher. Mereka menghadiri majlis makan malam dan mengadakan perbincangan terbuka mengenai Laut China Selatan serta beberapa isu strategik lain.

Dalam ucapan ringkasnya sebelum itu, Obama mengimbau zaman membesar di Indonesia bersama ibunya. Sejak menjadi Presiden, Obama beberapa kali melawat negara Asia Pasifik sebagai sebahagian daripada dasar ‘berpaling ke Asia’ yang dilaksanakan pentadbirannya.

“Anda dan penduduk ASEAN kerap memberi layanan istimewa kepada saya dan saya harap kita boleh meneruskan kemesraan itu sepanjang dua hari ini.

“Itu sebabnya saya tidak mengadakan sidang kemuncak ini di Washington. Ia amat sejuk di sana. Salji turun dengan lebat, maka selamat datang ke Sunnylands yang indah dan cerah,” katanya.

ASEAN dianggotai Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, Brunei, Vietnam, Laos, Myanmar dan Kemboja. Mesyuarat berlangsung di lokasi sama Obama menjadi hos kepada Presiden China, Xi Jinping.

Penganalisis berkata, pertemuan itu bertujuan menggariskan fungsi Amerika sebagai pengimbang terhadap perluasan kuasa serantau China, selain menjadi pelabur dan rakan dagang ASEAN.

Hari ini, pemimpin berkenaan membincangkan isu maritim, terutama berkaitan Laut China Selatan. China dan beberapa negara ASEAN termasuk Malaysia, mempunyai tuntutan bertindih di perairan itu.

Penasihat Nasional Rumah Putih, Susan Rice berkata, pelaburan syarikat AS di negara ASEAN meningkat dua kali ganda sejak 2008.

Pemimpin turut membincangkan isu Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang turut disertai empat anggota ASEAN iaitu Vietnam, Singapura, Brunei dan Malaysia. Negara lain turut menyatakan minat untuk menyertainya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 6:44 AM