Oleh Siraj Mohd Zaini

Kuala Lumpur: Pihak berkuasa disarankan supaya meningkatkan penguatkuasaan terhadap segelintir peniaga atas talian yang didakwa menjual barangan tiruan berbahaya secara terang-terangan kepada pengguna.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, penjualan pendakap gigi palsu serta pelbagai lagi produk berbahaya menerusi laman sosial seperti Facebook dan Instagram perlu dipantau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan lebih serius dan tegas.

Menurutnya, meskipun orang ramai mengetahui produk atau barangan itu tidak berkualiti, membahayakan kesihatan dan merugikan wang ringgit, namun mereka berdegil apabila masih sanggup membelinya.

“Sekiranya tiada permintaan daripada pengguna, peniaga ‘online’ ini tidak akan menjualnya, malah lebih teruk apabila penjualan barangan itu semakin berleluasa sehingga menjadi ‘trend’ dan fesyen generasi muda sekarang.

“KPDNKK perlu lebih tegas, sudah terlalu banyak dilaporkan sebelum ini, orang ramai dinasihatkan membantu dengan menyalurkan maklumat itu kepada pihak berkuasa untuk menanganinya,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Beliau mengulas laporan muka depan akhbar ini semalam mengenai seorang wanita dikenali sebagai Mira, 25, yang kini menderita gigi reput akibat memakai pendakap gigi tiruan beberapa tahun lalu.

Mira yang berasal dari Pekan, Pahang memakai pendakap gigi tiruan selama enam bulan sebelum mengambil keputusan untuk berhenti mengenakannya selepas rakan karibnya dikenali sebagai Fatimah meninggal dunia akibat barah usus tahap empat pada tahun lalu.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengingatkan orang ramai sebelum ini, terutama golongan muda supaya tidak membeli dan menggunakan pendakap gigi palsu kerana boleh mengundang pelbagai risiko penyakit namun ia tidak diendahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 9:44 AM