Suhaimi  (kanan) menunjukkan sebahagian kasut tiruan berjenama yang disita.
Suhaimi (kanan) menunjukkan sebahagian kasut tiruan berjenama yang disita.

Ipoh: Menjadikan rumah sebagai stor simpanan serta menjual barangan tiruan pada harga menyamai barangan berjenama. Itu taktik digunakan dua peniaga barangan tiruan di kawasan Bukit Merah, Menglembu, di sini, untuk mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

Namun, hasil maklumat orang awam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu dua rumah dipercayai dijadikan stor di lokasi berkenaan pada jam 5.45 petang kelmarin.

Operasi membanteras jualan barang tiruan yang dijalankan 15 anggota penguat kuasa KPDNKK dan empat anggota polis berjaya merampas 2,764 pasang kasut tiruan jenama Adidas dan Nike bernilai RM62,320.

Timbalan Pengarah KPDNKK Perak Suhaimi Mat Sari berkata, pihaknya menahan dua lelaki berusia 21 dan 71 tahun dalam serbuan itu, dan rampasan berkenaan disifatkan kejayaan terbesar pada tahun ini.

“Jarak antara kedua-dua rumah itu hanya 50 meter, dan kedua-dua suspek tiada hubungan keluarga, namun menjalankan perniagaan yang sama.

“Mereka cuba mengelirukan pihak berkuasa dengan menjadikan rumah biasa sebagai stor simpanan dan menjual barangan berkenaan menyamai harga asal,” katanya pada sidang media di stor eksibit KPDNKK di Jalan Kuala Kangsar, di sini, semalam.

Suhaimi berkata, siasatan awal mendapati kesemua barangan tiruan itu untuk dijual secara borong atau runcit di sekitar Ipoh dan negeri ini.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011.

“KPDNKK akan terus menjalankan pemeriksaan demi membanteras aktiviti penjualan barang tiruan kerana kementeriaan bertanggungjawab untuk melindungi pengeluar produk tulen dan berdaftar dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

“Kita mengalu-alukan maklumat dan kerjasama daripada orang awam dalam membantu kerajaan menangani penipuan mahupun penjualan produk tiruan di pasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 3:47 AM