STOR menyimpan rampasan barangan tiruan membabitkan kasut, beg dan pakaian dilakukan KPDNKK di sekitar ibu negara.
STOR menyimpan rampasan barangan tiruan membabitkan kasut, beg dan pakaian dilakukan KPDNKK di sekitar ibu negara.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Fardy Bungga dan Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Malaysia kini tidak ubah seperti ‘pasar lambak’ pelbagai barangan ciplak diseludup masuk dari serata pelusuk benua Asia.

Berdasar siasatan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), dianggar lebih 200 jenama barangan cetak rompak bernilai ratusan juta ringgit diseludup masuk ke negara ini setiap tahun oleh ‘lanun hak cipta’ ini.

Angka itu dijangka akan terus meningkat susulan permintaan tinggi oleh peniaga tempatan selain kuasa beli pengguna terhadap barangan berjenama tulen yang kian berkurangan.

Selain itu kewujudan sindiket menyeludup barangan tiruan didalangi peniaga warga asing berasal dari Bangladesh, Nepal, Pakistan, Indonesia, Timur Tengah serta ‘pemain’ sindiket tempatan menyebabkan pihak KPDNKK, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) berdepan cabaran lebih besar.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK, Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, KPDNKK sentiasa mengambil tindakan proaktif dalam usaha mengekang kegiatan penjualan barang tiruan dari terus berleluasa di negara ini.

“Malah sepanjang empat bulan pertama tahun ini saja, KPDNKK sudah merampas pelbagai barangan tiruan termasuk produk makanan bernilai lebih RM3.56 juta membabitkan 620 kes di seluruh negara.

“Untuk rekod, pemeriksaan yang dilakukan sepanjang tahun lalu pula mencatatkan 1,739 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM14.3 juta,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedar kebanyakan barangan tiruan ini dibawa masuk dari negara jiran disebabkan permintaan yang tinggi daripada pengguna.

Bagaimanapun katanya, ia tidak boleh dibiarkan bebas begitu saja kerana pihak berkuasa juga perlu melindungi hak peniaga barangan tulen atau pemilik cap dagang yang sah.

“KPDNKK sentiasa berusaha memerangi kegiatan barangan tiruan ini kerana ia bukan saja mengganggu pendapatan peniaga di negara ini, tetapi juga sekali gus menjejaskan pendapatan pengilang makanan dan hasil cukai negara.

“Misi membanteras kegiatan barang tiruan ini dilakukan dengan operasi pemeriksaan yang dijalankan bahagian penguat kuasa KPDNKK hampir setiap hari di seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, selain pemantauan yang dilakukan sendiri dari semasa ke semasa, KPDNKK turut memberi maklum balas segera terhadap sebarang aduan peniaga berhubung salah laku itu.

Katanya, setiap aduan yang diterima akan disiasat dan sekiranya terbukti benar berlaku aktiviti menyalahi undang-undang, KPDNKK tidak teragak-agak untuk melakukan serbuan dan rampasan.

“Selain itu, kita turut bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain di negara ini untuk memastikan kegiatan menyalahi undang-undang ini dapat dibanteras,” katanya.

Roslan berkata, ada pihak mempersoalkan keberkesanan tugasan penguat kuasa di pasaran ekoran lambakan barangan tiruan.

Namun katanya, dakwaan itu tidak tepat memandangkan statistik pencapaian membuktikan penguat kuasa KPDNKK mampu menyelesaikan puluhan ribu kes membabitkan jutaan nilai denda dan kompaun serta rampasan.

“Penguatkuasa KPDNKK sudah menggunakan pelbagai kaedah penguatkuasaan untuk mengelakkan pengguna dan peniaga daripada kerugian,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan statistik yang diperoleh dalam tempoh lima tahun ini, barang tiruan pakaian adalah yang paling banyak dirampas dengan 1,095 kes membabitkan jumlah rampasan RM8.3 juta.

Ini diikuti dengan barangan kulit seperti beg tangan wanita dan dompet dengan 608 kes yang dianggarkan bernilai RM6.2 juta.

Antara barangan lain yang menjadi sasaran peniaga barang tiruan adalah kasut, kosmetik, alat ganti kenderaan, ubat-ubatan, rokok, makanan, minuman keras dan barangan elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 9:43 AM