FATIN FARHANA JAPRE lihat ramai remaja yang memuat naik gambar menggunakan pendakap gigi palsu atau lebih popular sebagai 'fake braces' di laman sosial. Ia bagaikan trend masa kini. Namun, adakah anda tahu kesan buruk menggunakannya? Gen Y mengupas isu ini untuk kesedaran bersama.

Jika dulu, menggunakan pendakap gigi sesuatu yang memalukan. Individu yang memakai pendakap gigi sering di anggap mempunyai struktur gigi hodoh. Kini situasinya berbeza apabila ia bagaikan trend atau fesyen dalam kalangan remaja.

Berikutan penjualan pendakap gigi palsu secara meluas di laman sosial, remaja terutama golongan perempuan berebut-rebut membelinya. Tambahan pula, ia dijual dalam pilihan warna pelbagai dengan harga murah. Kononnya ingin tampil lebih cantik dan comel !

Kualiti diragui dan mudah dibeli

Tahukah anda, setiap alatan digunakan membentuk pendakap gigi yang sah begitu dijaga kualiti pembuatannya. Misalnya, 'archwire' pendakap gigi sebenar diperbuat daripada bahan antikarat dan reaktif atau tidak aktif terhadap air liur, minuman dan makanan yang dimasukkan ke dalam mulut.

Berbeza dengan pendakap gigi palsu yang besinya boleh berkarat, reaktif dengan bahan lain, mencalarkan permukaan gigi dan menghakis enamel gigi anda. Manakala saduran besinya boleh terhakis dan menjejaskan tubuh anda. Tidak hairanlah bila ia dijual dengan harga sekitar belasan atau puluhan ringgit saja. Anda boleh cari sendiri di Internet beberapa kes yang berlaku akibat pemakaian pendakap gigi palsu.

Pendakap gigi palsu yang dijual oleh pihak yang giat memungut keuntungan ini semakin berleluasa di pasaran. Walaupun mereka tahu ia akan memberi kesan buruk terhadap pengguna.

Dengan harga serendah RM10 hingga RM15, remaja mampu membeli pendakap gigi palsu ini secara atas talian dengan pilihan warna dan reka bentuk yang pelbagai. Bahkan, di pasar larut malam juga ada yang mengambil kesempatan menjual dan menawarkan pemasangan secara percuma kepada pembeli.

Hal ini semakin membimbangkan kerana rasa ingin lebih cantik, ia mendorong remaja terusan membeli dan mencari pendakap gigi palsu. Malah, di laman sosial Twitter juga, penulis lihat ramai remaja yang meluahkan rasa ingin cuba menggayakan 'fake braces' ini.

Fakta dari pakar

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri S Subramaniam, trend memakai dan membeli pendakap gigi palsu dari pasaran gelap untuk digunakan pada gigi mereka akan mengundang risiko kesihatan.

"Penggunaan pendakap gigi palsu oleh mereka yang tidak layak boleh menyebabkan saraf dan saluran darah pada gigi mati serta mengalihkan gigi. Ia boleh dikatakan fesyen yang sangat membimbangkan," katanya.

Selain itu, terdapat juga laporan tentang risiko kematian yang dikaitkan dengan bahan berbahaya seperti plumbum dalam pendakap gigi palsu. Pengguna akan berisiko mendapat masalah gusi, ulser mulut, jangkitan mulut, gigi berkalih, kehilangan gigi dan lain-lain.

"Walaupun reka bentuk dan warna yang menarik, penggunaan alat yang tidak bersih boleh menyebabkan jangkitan. Alahan kepada bahan yang digunakan atau tertelan kelengkapan yang tercabut mungkin boleh berlaku", katanya.

Doktor tak diiktiraf

Berikutan fenomena ini, ramai peniaga yang mengambil kesempatan menjadikan penjualan pendakap gigi palsu sebagai punca pendapatan mereka. Jika dilihat di laman sosial Instagram misalnya, terlalu banyak peniaga secara atas talian mempromosikan barangan mereka.

Mereka juga boleh di ibaratkan seperti doktor gigi yang tidak diiktiraf. Ini kerana mereka turut memberikan nasihat dan cara pemakaian kepada pembeli. Namun, mereka tidak pula memberitahu kesan buruk yang akan berlaku ke atas pembeli. Asalkan barangan mereka habis dijual.

Dalam pada itu, terdapat juga individu yang menyamar menjadi doktor gigi palsu yang menawarkan perkhidmatan memasang pendakap gigi dengan harga yang rendah. Walhal, pendakap gigi yang dipasang adalah palsu. Tanpa pengalaman dan tidak tahu tahap kebersihan alat yang digunakan, mereka mengendalikan pesakit gigi.

Maka, terjadilah kes gigi reput dan sebagainya. Kes ini dipetik daripada kenyataan oleh Bahagian Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan Malaysia. Kini, KKM sedang memerangi doktor gigi palsu yang sedang berleluasa di laman sosial. Rawatan yang dilakukan tanpa doktor bertauliah akan menyebabkan kecederaan yang serius kepada pengguna.

Walaupun hanya pendakap gigi palsu, tetapi cara pemakaiannya tetap sukar dan menyakitkan kerana ia mencengkam gigi si pemakai. Bagi remaja yang memiliki gigi normal atau sedia cantik, lupakan saja niat anda untuk bergaya dengan pendakap gigi kerana tujuan asal pendakap gigi adalah untuk membetulkan struktur gigi yang tidak selari. Jangan terlalu teruja bergaya, nanti muda-muda lagi sudah hilang gigi !

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 9:57 AM