AKTIVITI pembersihan bangkai ikan giat dilaksanakan.
AKTIVITI pembersihan bangkai ikan giat dilaksanakan.

Melaka: Sampel air sungai berhampiran Kampung Enam Bachang, di sini, sudah dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengenal pasti punca kematian ribuan ikan di sungai berkenaan.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka Hedzir Zakaria berkata, punca ikan berkenaan mati hanya boleh diketahui apabila pihaknya mendapat bacaan sebenar kandungan kualiti air sungai terbabit.

Katanya, sebaik menerima maklumat mengenai kejadian, JAS terus ke sungai terbabit untuk mengambil sampel air yang dihantar ke Jabatan Kimia.

“Sampel air sungai berkenaan sudah diambil semalam (kelmarin) dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk mendapatkan keputusan tahap kualiti air sungai.

“Keputusan bacaan kualiti air itu hanya dapat dikeluarkan dalam tempoh kira-kira dua minggu kerana perlu mengambil kira pelbagai aspek,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, kawasan sungai itu bermula dari muara hingga ke Sungai Melaka Fasa ll bebas daripada kawasan industri.

Katanya, kejadian itu adalah yang pertama berlaku di sungai berkenaan, bagaimanapun pernah berlaku di sungai berhampiran Taman Rempah sebelum ini.

Harian Metro semalam melaporkan, misteri bau busuk yang menghantui penduduk Kampung Enam Bachang, terjawab apabila ribuan bangkai ikan pelbagai jenis ditemui terapung di sungai berhampiran rumah mereka, di sini, kelmarin.

Bau busuk itu hanya dihidu penduduk pada pagi kelmarin dan disebabkan tidak tahan dengan keadaan itu, penduduk ke sungai terbabit jam 8 pagi sebelum terkejut dengan penemuan bangkai ikan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 10:26 AM