SEBAHAGIAN bangkai ikan  di Sungai Bachang.
SEBAHAGIAN bangkai ikan di Sungai Bachang.

Melaka: Misteri bau busuk yang menghantui penduduk Kampung Enam Bachang, di sini, terjawab apabila ribuan bangkai ikan pelbagai jenis ditemui terapung di sungai berhampiran rumah mereka, di sini, semalam.

Penduduk Latipah Ab Wahab, 45, berkata, pada awalnya bau busuk yang dihidu disangkakan bangkai haiwan seperti lembu atau kambing, tetapi sebaliknya.

Katanya, bau busuk itu hanya dihidu penduduk pada pagi semalam dan disebabkan tidak tahan dengan keadaan itu, mereka ke sungai terbabit jam 8 pagi sebelum terkejut dengan penemuan bangkai ikan terbabit.

“Sebaik tiba di sungai berkenaan yang jaraknya hanya kira-kira tiga meter dari rumah penduduk, kami terkejut apabila melihat objek berwarna putih terapung di tepi sungai terbabit,” katanya.

Menurutnya, disebabkan terlalu banyak bangkai ikan, air sungai juga bertukar warna menjadi hitam dan kejadian itu segera dimaklumkan kepada penghulu sebelum wakil Jabatan Alam Sekitar (JAS) datang menjalankan siasatan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ismail Othman berkata, JAS sudah memaklumkan kepada pihaknya mengenai kejadian itu dan dan siasatan lanjut akan dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 10:29 AM