HISHAMMUDDIN bertanyakan sesuatu kepada pelajar Malaysia yang baru pulang dari Yaman.
HISHAMMUDDIN bertanyakan sesuatu kepada pelajar Malaysia yang baru pulang dari Yaman.

Rompin: Kerajaan akan melaksanakan proses membawa pulang seramai 30 pelajar Malaysia di Sana’a, Yaman dalam masa terdekat ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pelajar terbabit membuat permohonan pulang ke tanah air memandangkan keadaan bergolak di beberapa kawasan di negara berkenaan.

Katanya, permintaan itu dibuat selepas keadaan di Aden dan Sana’a bertambah tegang berikutan tindakan puak pemberontak Houthi yang semakin agresif.

“Kerajaan baru saja menerima maklumat permohonan pulang oleh pelajar hari ini (semalam) dan Kabinet sudah dimaklumkan.

“Proses evakuasi akan dilaksanakan secepat mungkin yang mana ketika ini pesawat Hercules C130 digunakan untuk membawa keluar pelajar sebelum ini masih berada di Jeddah, Arab Saudi,” katanya pada sidang media selepas melancarkan jentera Wanita Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin di Muadzam Shah, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Datuk Maznah Mazlan dan calon BN bagi PRK itu, Datuk Hasan Arifin.

Hishammuddin berkata, dalam keadaan di Sana’a dan Aden yang semakin tegang, ia bukan tugas mudah bagi melaksanakan proses evakuasi.

“Bukan saja dengan keadaan di Aden itu terkepung. Hendak jayakan evakuasi ini bukan mudah kerana perlu bawa pelajar dari Aden ke Djibouti, Yaman kemudian ke Jeddah dan pulang ke Malaysia.

“Ini bukan sesuatu yang kita boleh kompromi, kita tidak pilih bulu dan akan buat sebaik mungkin serta anggap mereka ini semua anak kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 8:09 AM