ABDUL Aziz (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Reezal Merican pada Mesyuarat Agung kali ke-14/2015 MUBARAK Pulau Pinang, semalam.
ABDUL Aziz (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Reezal Merican pada Mesyuarat Agung kali ke-14/2015 MUBARAK Pulau Pinang, semalam.
Oleh Siti Sofia Md Nasir


Seberang Jaya: Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) akan membantu jentera Barisan Nasional (BN) dan UMNO dalam menghadapi dua pilihan raya kecil (PRK), bulan depan.

Presidennya Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, MUBARAK akan menggunakan pendekatan turun padang dan bertemu pengundi veteran di Parlimen Rompin, Pahang serta Parlimen Permatang Pauh, di sini.

“MUBARAK tidak akan duduk diam pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin dan Permatang Pauh. Kita akan turut serta berkempen untuk memastikan kemenangan UMNO dan BN.

“Bagaimanapun, ia tidak dijalankan secara besar-besaran seperti parti politik, sebaliknya MUBARAK hanya akan turun padang dan bertemu pengundi yang sebaya kami di kedai kopi untuk meraih undi,” katanya ketika ditemui pemberita Mesyuarat Agung kali ke-14/2015 MUBARAK Pulau Pinang, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

PRK Parlimen Rompin akan diadakan pada 5 Mei diikuti PRK Parlimen Permatang Pauh, dua hari kemudian.

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz berkata, MUBARAK memohon kerajaan menimbangkan kenaikan pencen bekas wakil rakyat dengan kadar minimum RM3,000 ke atas.

Beliau berkata, ketika ini, ada segelintir ahli MUBARAK yang hanya menerima kadar pencen RM2,000 sebulan sehingga melayakkan mereka menjadi penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Sebelum ini, jika Ahli Dewan Rakyat menerima kenaikan gaji, bekas wakil rakyat turut akan merasai habuan sama. Namun, sekarang MUBARAK terpaksa bertemu media untuk menyatakan hak kita,” katanya.

Pada 10 April lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 2014 berkaitan kenaikan gaji dan elaun Anggota Parlimen yang ditangguhkan pada sidang Dewan Rakyat lalu.

Gaji dan elaun untuk semua Ahli Parlimen dinaikkan kepada RM16,000 berbanding RM6,000 sebulan sebelum ini, iaitu peningkatan yang mencecah 40 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2015 @ 5:26 AM