Oleh Nazarali Saeril

nazarali @hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kriteria calon setempat, muda, berintegriti, berpendidikan, berlatar belakang agama selain gemar membantu masyarakat mencerahkan peluang Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Rompin, Pahang serta Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Itu pendapat Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Negara Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Abdul Halim Sidek apabila diminta memberi pendapat berkaitan calon yang perlu diketengahkan BN pada kedua-dua PRK berkenaan.

Menurut Abdul Halim, BN perlu melupakan calon sudah berumur untuk bertanding kerana ia sukar memenangi hati pengundi muda yang juga penentu kemenangan pada PRK berkenaan.

“Bagi Parlimen Rompin, arwah Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis memang terkenal dalam kalangan masyarakat sebagai seorang wakil rakyat yang banyak berjasa selain prihatin.

“Kerusi berkenaan perlu ditandingi UMNO dan perlu meletakkan calon muda, berumur lingkungan 30-an hingga awal 40-an, berkahwin kerana ia dinilai pengundi muda serta pengundi atas pagar,” katanya, semalam.

PRK di Permatang Pauh dibuat selepas penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen selepas Lembaga Pengampunan Diraja menolak petisyen pengampunan beliau yang didapati bersalah dan dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Persekutuan 10 Mac lalu kerana kesalahan meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

PRK di Rompin pula diadakan selepas kematian Jamaluddin pada 4 April lalu dalam nahas helikopter AS365N2 Dauphin di Kampung Sungai Pening, Semenyih, Selangor.

Menurut Abdul Halim, golongan muda serta pengundi atas pagar penentu kejayaan sama ada Rompin berada di bawah BN atau sebaliknya.

“Pemilihan calon dibuat dalam kalangan Pemuda UMNO, ahli jawatankuasa UMNO bahagian atau mana-mana individu dirasakan layak oleh pucuk pimpinan BN.

“UMNO Bahagian Rompin tidak ketandusan pemimpin kerana arwah Tan Sri meletakkan kepentingan mencari bakat pelapis di situ sepanjang tempoh khidmatnya,” katanya.

Menurut beliau, BN mampu menang di Rompin, namun pucuk pimpinan BN tidak boleh leka dengan perkara berkenaan kerana jangkaan itu boleh berubah pada bila-bila masa.

Abdul Halim berkata, perkara sama juga perlu dilakukan di Permatang Pauh dan pertandingan di situ pasti sengit.

“Ada khabar angin mengatakan calon pembangkang di situ anak Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, namun kesahihannya tidak dapat dipastikan.

“Jika ini berlaku, mungkin ada pihak dalam kalangan pemimpin PKR setempat yang terasa hati kerana mereka sudah lama bekerja keras, namun dipinggirkan untuk menjadi calon. Ia tidak mustahil berlaku,” katanya.

Menurut beliau, UMNO Permatang Pauh perlu bersatu kerana PRK di situ cerminan pengaruh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjarakan.

Katanya, pemimpin UMNO setempat yang muda serta berketerampilan perlu diberi peluang untuk menjadi calon kerana ia juga antara sebab pengundi muda di situ mahu mengundi BN.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 5:15 AM