Cyberjaya: Satu pasukan siasatan disertai tujuh pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dihantar semula ke lokasi tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 di Donetsk, Ukraine Sabtu ini bagi menyambung dan melengkapkan siasatan nahas berkenaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pasukan itu akan berlepas ke Kiev, Ukraine sebelum memasuki Donetsk Selasa ini bersama pasukan siasatan dari Ukraine dan Belanda.

Beliau berkata, fokus pencarian seterusnya adalah mencari serpihan pesawat dan bukti baru bagi membantu siasatan selain mengesan seorang lagi identiti mangsa belum dikenal pasti iaitu seorang warga Belanda.

“Pesawat MH17 adalah pesawat kita dan kita komited bersama pasukan negara lain untuk menyiasat tragedi berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan rasmi ke Universiti LimKokWing, di sini, semalam.

Khalid berkata, ia pasukan pertama yang dihantar untuk melengkapkan siasatan tragedi berkenaan, selain satu lagi pasukan lain akan dihantar kemudian.

Menurutnya, pasukan itu akan berada di Donetsk selama sebulan bagi melengkapkan siasatan.

Khalid berkata, pihaknya akan meneruskan pemantauan bagi mengesan ancaman kumpulan militan Negara Islam (IS) di negara ini.

“Kami akan pantau semua kategori individu berkenaan. Alhamdulillah, Rang Undang-Undang Pencegahan (POTA) 2015 diluluskan, dan kami menunggu ia diwartakan sebelum menggunakannya sebagai ‘alat’ kepada PDRM untuk memerangi jenayah keganasan di negara ini,” katanya.

Terdahulu, Khalid mewakili PDRM menerima anugerah apabila laman sesawang Cybercrime milik PDRM memenangi tiga pengiktirafan dalam beberapa anugerah antarabangsa dan tempatan.

Laman sesawang Cybercrime memenangi Laman Web Perkhidmatan Maklumat Terbaik di Internet Advertising Competition Awards 2014, pingat perak bagi Kecemerlangan Jenayah Siber di 20th Annual Communicator Awards 2014 di bawah kategori perisian komputer dan pingat perak bagi Kecemerlangan Jenayah Siber di anugerah sama di bawah kategori kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 10:54 AM