Miri: Berang isterinya dituduh mencuri, seorang lelaki mengamuk dan merosakkan kenderaan abang iparnya dalam kejadian di Hilltop di sini, semalam.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila suspek berusia 33 tahun tidak berpuas hati dengan tindakan abang iparnya menuduh isterinya mencuri telefon pintar dan tablet.

Sumber berkata, akibat tuduhan dibuat lelaki berusia 30-an itu, suspek yang bengang menyerang mangsa menggunakan parang dan memecahkan cermin kereta mangsa.

“Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, suspek dipercayai dalam keadaan khayal selepas disyaki mengambil dadah dan turut mengugut membunuh mangsa.

“Bimbang kejadian buruk berlaku, mangsa menghubungi talian kecemasan sebelum suspek berjaya ditahan sepasukan polis dari balai Polis Pusat Miri, kira-kira setengah jam kemudian,” katanya.

Sumber berkata, selain menahan lelaki berkenaan, polis merampas sebilah pisau pemotong daging digunakan suspek untuk menyerang mangsa.

Katanya, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Jurucakap polis berkata, pihaknya ada menerima laporan kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 9:18 AM