Mohd Rizal Abdullah

DISEBABKAN cemburu, seorang lelaki parah dibelasah adik ipar lelakinya bersama dua lelaki lain dalam kejadian di bilik sewa di Taman Gilbert, Miri, pagi semalam.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, mangsa berusia 40-an cedera di kepala apabila dibelasah menggunakan kayu oleh ketiga-tiga lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berada di bilik sewa sebelum didatangi suspek iaitu adik iparnya berusia 26 tahun dalam keadaan mabuk bersama dua rakan lelakinya berusia 26 dan 33 tahun.

Beliau berkata, berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa sebelum suspek bersama rakannya membelasah mangsa.

"Mangsa dibelasah sehingga pengsan dengan kepalanya berlumuran darah.

“Ketiga-tiga suspek ditahan polis di lokasi kejadian tidak lama kemudian selepas polis menerima laporan daripada keluarga mangsa.

“Siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan cemburu apabila suspek mendakwa mangsa ada hubungan sulit dengan isterinya dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 5:40 PM