KEADAAN kereta mangsa yang dirempuh treler selepas terbabas.
KEADAAN kereta mangsa yang dirempuh treler selepas terbabas.

Jeli: “Dia ada beritahu hendak belanja kami sekeluarga makan di restoran, namun kakaknya minta tangguh dulu dan tunggu kepulangan adik-beradik mereka yang lain, hari ini (semalam).

“Nampaknya pengumpulan mereka semua adalah untuk menyambut jenazah dia,” kata Lasiman Parman, 58, bapa kepada Muhammad Amin, 25, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 122.6, Jalan Kota Bharu-Machang-Gerik dekat Batu Melintang, di sini, semalam.

Lasiman berkata, anak keempat daripada lima beradik itu menyuarakan hasrat untuk menjamu mereka sekeluarga kepada kakaknya, Nora Haslina, 28, minggu lalu.

“Sudah setahun dia bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat perkapalan di Lumut, Perak dan sempena gaji Mac lalu, memang dia kata hendak belanja semua, namun Nora Haslina minta tangguh berikutan mahu tunggu anak saya yang lain pulang ke kampung hari ini (semalam). Malangnya, kejadian ini berlaku.

“Berita ini sangat mengejutkan kami sekeluarga, apatah lagi kali terakhir saya jumpa dia pada jam 6 petang, Khamis lalu, selepas dia pulang dari kerja,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Jeli, di sini, semalam.

Menurutnya, Muhammad Amin bertolak dari rumah mereka di Manjung Point, Perak selepas Maghrib untuk bercuti bersama rakannya di Pulau Perhentian, Terengganu.

“Dia memang biasa bercuti di luar negeri dan beberapa hari sebelum dia bertolak, memang dia ada beritahu mahu ke Pulau Perhentian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:37 AM