ANGGOTA pasukan penyelamat melakukan kerja mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus di lokasi tanah runtuh. FOTO Bernama
ANGGOTA pasukan penyelamat melakukan kerja mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus di lokasi tanah runtuh. FOTO Bernama
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: "Abang sekeluarga memang 'happy' untuk bercuti dan saya difahamkan mereka sudah lama merancang untuk perkhemahan itu," kata peniaga, Tai Yi Wei, 27, dari Machap Baru, dekat sini.

Wanita itu adalah adik kepada seorang daripada lapan mangsa yang masih hilang dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali, Hulu Selangor awal pagi semalam.

Yi Wei berkata, abangnya, Tai Chang Lin, 35, dan kakak ipar, Yu Siew Pay, 34, tidak dapat dihubungi sejak bercuti ke kawasan perkhemahan itu, Rabu lalu bersama rakan mereka.

Katanya, difahamkan abang dan kakak iparnya sudah lama merancang untuk bercuti di tapak perkhemahan itu dan pergi ke sana pada petang Rabu bersama dua anak mereka berusia empat dan tujuh tahun.

"Abang dan kakak ipar saya membuat tempahan untuk bercuti di sana pada Mac lalu dan pergi ke sana pada Rabu.

"Mereka pergi bersama-sama rakan abang saya sekeluarga empat beranak dan sepatutnya pulang semalam. Namun, selepas berita kejadian runtuhan tanah itu saya berasa tidak sedap hati dan cuba menghubungi mereka berulang kali tetapi tidak dijawab," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, abangnya yang juga anak keempat daripada tujuh beradik sempat memuat naik status di Facebook memaklumkan dua keluarga seramai lapan orang bertolak dari Machap Baru untuk berkhemah di Batang Kali.

"Ketika ini saya hanya menunggu berita daripada abang kelima yang pergi ke hospital bersama isteri dan dua ahli keluarga yang lain untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai mangsa terselamat.

"Namun, setakat ini nama keluarga saya tidak tersenarai dan kami hanya mampu berdoa supaya abang, keluarga dan rakannya selamat," katanya.

Dia berkata, abangnya bekerja sebagai wakil pengurusan mayat manakala kakak iparnya seorang guru.

Terdahulu Yi Wei turut memuat naik status di Facebooknya dengan menyatakan: "Saya cuma mengharapkan satu panggilan saja daripada mereka, beritahu mereka selamat daripada kejadian tanah runtuh itu".

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem turut meluangkan masa melawat waris mangsa terbabit di Hospital Sungai Buloh.

"Sejak menerima berita tragedi tanah runtuh, hati saya tidak tenteram apabila mengetahui ada mangsa dari DUN Machap Jaya dan bergegas ke hospital untuk berjumpa waris mereka.

"Saya amat sedih apabila diberitahu seramai 12 mangsa belum ditemui dan ada antara mereka dari DUN Machap Jaya seramai lapan orang.

"Kita berdoa supaya supaya mangsa yang ditemui masih hidup," katanya menerusi catatan di Facebooknya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 2:07 PM