KEADAAN kereta yang  terbalik akibat langgar lembu.
KEADAAN kereta yang terbalik akibat langgar lembu.

Jitra: Perjalanan pulang lima sekawan ke Bukit Kayu Hitam berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut akibat tercampak keluar dari kenderaan pelbagai guna (MPV) selepas melanggar seekor kerbau dalam kemalangan di Kilometer 22.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi mengakibatkan mangsa Muhammad Amirul Abdul, 19, dari Kampung Perik, Mukim Kurong Hitam, Kuala Nerang, di sini, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Dalam kejadian itu, pemandu kenderaan berusia 22 tahun dan penumpang lain berusia 20-an cedera parah di kepala dan badan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk rawatan, sementara dua penumpang lain berusia 20-an menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Jitra, di sini.

Difahamkan, kenderaan dinaiki mangsa terbalik di tepi lebuh raya selepas dipercayai melanggar penghadang jalan.

Bapa mangsa Abdul Yaakob, 49, berkata arwah ada memaklumkan kepadanya bahawa dia akan pulang ke rumah untuk membaiki kandang lembu di rumahnya ketika mereka bertemu buat kali terakhir kira-kira dua hari lalu sebelum anaknya keluar ke Bukit Kayu Hitam.

Menurutnya, Amirul yang bekerja di sebuah pusat mencuci kenderaan menetap di Perumahan Awam Bukit Kayu Hitam kerana berhampiran tempat kerjanya, selain bapa saudaranya juga menetap di kawasan berkenaan.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 6:32 AM