KEADAAN kereta Perodua Myvi yang remuk selepas berlanggar dengan motosikal di Kilometer 13.6 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Jenalik. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN kereta Perodua Myvi yang remuk selepas berlanggar dengan motosikal di Kilometer 13.6 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Jenalik. FOTO Ihsan Pembaca
Zuliaty Zulkiffli


PESARA polis maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan Perodua Myvi di Kilometer 13.6 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Jenalik, dekat Jitra, semalam.

Mangsa, Hashim Jaafar, 65, dari Kampung Bendang Perang Mukim Temin meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, kejadian dipercayai berlaku 7.15 malam membabitkan dua kenderaan dan siasatan awal mendapati kereta Perodua Myvi itu dipercayai dari arah Jitra ke Bukit Kayu Hitam.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai keluar secara mengejut dari susur sebelah kanan jalan secara berlawan arah dan memasuki laluan kereta terbabit.

"Disebabkan jarak terlalu dekat, pemandu kereta itu tidak sempat membrek kenderaannya dan melanggar motosikal mangsa.

"Mangsa terpelanting ke atas jalan dan terseret kira-kira dua meter sebelum meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Ismail berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

Beliau berkata, bagaimanapun pemandu kereta Perodua Myvi berusia 28 tahun itu dan berasal dari Simpang Kuala, Alor Setar itu hanya cedera.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 10:34 AM