Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Kuala Lumpur: Sekalipun pengumuman berhubung kadar baru tambang teksi dikritik hebat pengguna, namun perubahan harga tetap perlu bagi menampung peningkatan beban kos penyelenggaraan ditanggung pemandu.

Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan, Selangor (PERPEKLI) Datuk Aslah Abdullah berkata, pengguna harus faham kenaikan tambang diumumkan sebelum ini sudah dikaji lama.

“Saya percaya isu tambang ini jadi hangat kerana pengumuman awalnya dibuat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), bukan kementerian berkaitan.

“Namun demikian, kita lega apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu tambang semalam (kelmarin),” katanya.

Jelas Aslah, kenaikan tambang kali ini bukan berpunca daripada harga minyak, sebaliknya ditekan pelbagai faktor termasuk kos penyelenggaraan dan alat ganti.

“Tayar, bateri dan minyak enjin memerlukan modal besar untuk diganti secara berkala. Malah, kalau dikira secara kasar, kos penyelenggaraan hari ini sudah meningkat lebih 50 peratus, berbanding semakan terakhir tambang pada 2009.

“Begitupun, pengguna tidaklah berdepan perubahan harga besar kerana meter mula masih kekal pada harga RM3,” katanya.

Pendapat hampir sama disuarakan Timbalan Presiden Pertubuhan Gabungan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Kuala Lumpur, Selangor (GAPTEKS) Zailani Isa Usuluddin.

Menurutnya, kenaikan tambang diumumkan kerajaan bukan untuk poket pemandu semata-mata, tetapi lebih kepada membantu meringankan beban kos selenggara yang terpaksa ditanggung kelompok terbabit.

“Bagi pemandu teksi yang bergantung penuh kepada pendapatan memandu, mereka perlu bekerja 14 jam sehari untuk meraih pendapatan sekurang-kurangnya RM200.

“Itu belum ditolak kos menyewa teksi, penyelenggaraan enjin, tayar, bateri serta alat ganti lain. Secara purata, jika seorang pemandu teksi yang jujur (menggunakan meter) mampu bekerja 26 hari sebulan, dia mungkin mampu hidup selesa dengan pendapatan bulanan bersih sekitar RM2,000 hingga RM2,300.

“Dengan jumlah pendapatan itulah mereka menanggung keperluan harian, perubatan keluarga dan persekolahan anak-anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 9:39 AM