Kuala Lumpur: Pelaksanaan kadar baru tambang teksi bermula 1 April depan bertujuan mewujudkan satu situasi ‘menang-menang’ antara pemandu dan penumpang.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Mohd Nur Ismal Kamal berkata, kenaikan itu suatu pendekatan menyasar kerana manfaatnya dapat dirasai bagi penumpang teksi untuk perjalanan jarak jauh selain mengukuhkan aspek penguatkuasaan.

“Statistik SPAD dua tahun lalu mendapati corak penggunaan teksi di Lembah Klang mendapati 70 peratus orang awam menaiki pengangkutan awam itu untuk jarak perjalanan kurang 10 kilometer (km) manakala selebihnya pula menggunakan teksi bagi perjalanan lebih 20km,” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata, teksi kini sudah menjadi pilihan pengangkutan yang menghubungkan destinasi jarak dekat, seperti perjalanan dari rumah ke stesen komuter dan bukannya untuk perjalanan pulang ke kampung.

“Oleh hal demikian, perjalanan yang kurang 10km mencatatkan kenaikan 30 peratus, iaitu kadar tambang baru kira-kira RM14 berbanding kadar lama, RM11,” katanya.

Beliau menjelaskan berdasarkan tinjauan yang dilakukan pihaknya mendapati bagi perjalanan kurang daripada lima kilometer, ada pemandu teksi yang sewenang-wenangnya mengenakan bayaran tambang tanpa mengikut meter sehingga RM25.

“Sebagai contoh bagi perjalanan dari KLCC ke Pavilion hanya sekadar RM3.63 bagi kadar baru manakala kadar semasanya RM3.43 namun terdapat pemandu teksi yang mengenakan sehingga RM25 bagi perjalanan yang hanya berjarak 1.5 kilometer.

“Kebanyakan pemandu teksi tidak menggunakan meter sehingga sanggup mengenakan caj melampau. Mereka berbuat demikian dengan alasan tambang yang ditetapkan kerajaan terlalu rendah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 9:33 AM