SEBAHAGIAN pesawat pejuang yang akan mengambil bahagian sempena LIMA’15.
SEBAHAGIAN pesawat pejuang yang akan mengambil bahagian sempena LIMA’15.

Langkawi: Pasukan aerobatik negara, Aerotree Kris Sakti (AKS), melaungkan keazaman bahawa mereka bersedia untuk menghiburkan penonton menerusi 13 formasi udara menarik pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2015 (LIMA’15) bermula esok.

Penampilan kali keenam pasukan diketuai juruterbang berpengalaman, Datuk Halim Othman, bersama empat juruterbang lain itu turut menjanjikan kelainan berbanding LIMA terdahulu.

Halim atau lebih dikenali sebagai Toogoo berkata, pasukan AKS mula menjalani latihan intensif mulai Februari lalu di Subang, Selangor dan disusuli Butterworth, Pulau Pinang sebelum tiba di Langkawi.

“Kami sudah menetapkan untuk mempamerkan tidak kurang 13 aksi aerobatik menarik pada pertunjukan udara sempena LIMA’15 kali ini menggunakan dua jenis pesawat iaitu Extra 300L dan Extra 330L.

“Pesawat Extra 300L diterbangkan oleh empat juruterbang, manakala Extra 330L oleh saya sendiri untuk pertunjukan solo sebelum bergabung dengan rakan sepasukan,” katanya.

Halim berkata demikian ketika ditemui selepas pasukan terbabit mengadakan sesi latihan dan penyesuaian di ruang udara Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini, bersama beberapa pasukan aerobatik lain, semalam.

Beliau yang juga bekas juruterbang A4 Skyhawk, F5E, MiG 29N and FA-18D Hornet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata, kehadiran mereka bagi membuktikan juruterbang negara setanding dengan negara luar.

“Sepanjang 15 minit persembahan, kami akan melakukan penerbangan serendah 45 meter dan paling tinggi akan mencecah 914 meter,” katanya.

Selain Halim, barisan juruterbang AKS yang mendapat sokongan Aerotree Defence & Services Sdn Bhd (AEROTREE) itu terdiri daripada Mejar Shamsul Shahrin Isa, Mejar Mohamad Shagul, Mejar Rozmin Mohamad dan Mejar Goh King Loon yang masih bertugas dengan TUDM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2015 @ 5:37 AM