Norazan melayan pengunjung cilik selepas membuat aksi aerobatik sempena LIMA ‘17, semalam.
Norazan melayan pengunjung cilik selepas membuat aksi aerobatik sempena LIMA ‘17, semalam.
Muhaamad Hafis NawawiFardy Bungga dan Sofyan Rizal Ishak dan Hamzah Osman


Langkawi: Ketika Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2017 (LIMA ‘17) kali pertama dianjurkan 26 tahun lalu, tiada siapa menyangka anak jati Langkawi mampu menjadi juruterbang pesawat pejuang.

Bagaimanapun, Mejar Norazan Othman, 38, yang berasal dari Kampung Lubuk Setul, di sini, akhirnya tampil sebagai juruterbang Sukhoi SU-30MKM dan kini menjadi kebanggaan masyarakat tempatan.

Selain juruterbang jet pejuang, beliau yang berpengalaman 20 tahun bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga kini berperanan sebagai jurulatih dan juruterbang penguji pesawat.

Norazan berkata, beliau bercita-cita menjadi juruterbang sejak di bangku sekolah rendah, malah gemar mengumpul permainan pesawat perang.

Katanya, minat beliau menjadi juruterbang semakin mendalam apabila penganjuran pameran LIMA pertama pada 1991 memberinya peluang menyaksikan jet tempur terbang di ruang udara Langkawi.

“Pada masa itu, saya melihat jet pejuang dan saya teruja. Sejak detik itu, saya berazam menjadi juruterbang pesawat tempur satu hari nanti.

“Alhamdulillah, berkat sokongan keluarga saya mencapai cita-cita itu,” katanya, semalam.

Norazan yang kini bertugas di pasukan 11 Skuadron, TUDM Gong Badak, Terengganu berkata, selagi ada kemahuan dan minat sesiapa saja mampu bergelar juruterbang.

Sementara itu, pemuda orang kurang upaya (OKU) Amirul Farid Najudin, 34, dari Kuala Lumpur bertuah dapat merakam kenangan bersama Norazan biarpun beratur 200 meter untuk menyaksikan pertunjukan aerobatik di udara itu.

“Sudah tentu gembira kerana selepas dia (Norazan) nampak saya, dia terus beri isyarat kepada rakannya menuju ke arah saya sebelum mereka bersalam dan ajak bergambar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 10:17 AM