NORAZAN (depan) bersama  juruterbang kedua pesawat Sukhoi, Mejar Muhammad Osman Mohd Sidek. FOTO Aswadi Alias
NORAZAN (depan) bersama juruterbang kedua pesawat Sukhoi, Mejar Muhammad Osman Mohd Sidek. FOTO Aswadi Alias
Hamzah Osman


Langkawi: "Ini pertunjukan udara terakhir dan tugas ini (aerobatik solo) bakal diambil alih rakan sepasukan pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (Lima) akan datang," kata Leftenan Kolonel Mohd Norazan Othman.

Mohd Norazan, 44, adalah juruterbang jet tempur Sukhoi Su-30MKM Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menampilkan 10 aksi aerobatik solo yang memukau dan mendebarkan, sekali gus menambat hati pengunjung Lima.

Beliau yang berasal dari Kampung Lubuk Setul di sini berkata, Lima edisi ke-16 ini adalah penyertaan kali keenamnya.

Katanya, selain juruterbang jet pejuang, beliau yang berpengalaman lebih 25 tahun bersama TUDM juga pernah berperanan sebagai jurulatih dan juruterbang penguji pesawat.

"Saya semakin berusia dan Pegawai Sistem Senjata Mejar Muhammad Osman Mohd Sidek yang kini berada di tempat duduk belakang dalam pesawat bersama saya sudah bersedia mengambil alih tugas.

"Saya yang menggunakan gelaran Sting sebagai call sign dan Osman (Gitter) adalah antara 23 juruterbang TUDM yang terbabit dalam pertunjukan udara pada Lima 2023 yang berakhir hari ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Padang Mat Sirat, Langkawi dan Sekolah Menengah Kebangsaan Teknik Ipoh, Perak, sebelum berjaya melanjutkan pelajaran di Kolej Tentera Udara, mengakui bukan mudah untuk menjadi juruterbang.

Katanya, sebagai contoh, beliau mengambil masa lama dan perlu fokus ketika berlatih melakukan aksi solo pesawat, khususnya ketika mempamerkan kolokol atau aksi kedudukan statik dalam keadaan menegak 75 darjah di udara.

"Selain itu, apabila bawa pesawat, ia berbeza dengan tugas biasa dan untuk pertunjukan, namun masing-masing ada risiko tersendiri, baik ketika tinggi di udara, laut atau darat.

"Bercakap mengenai kematian, saya reda dengan minat dan pilihan kerjaya walaupun pada peringkat awal ditentang kuat oleh ibu kerana kalau sudah tiba ajal, di mana-mana pun kita akan mati," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, beliau menerbangkan 25 jenis pesawat dan kini meneruskan perkhidmatan di Bahagian Perancangan dan Pembangunan TUDM, Kementerian Pertahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 10:44 AM