FOTO ini dirakamkan pada 20 Februari 2017, ketika Kang Chol berjalan keluar untuk mengadakan sidang media di luar Kedutaan Korea Utara. FAIL Aizuddin Saad
FOTO ini dirakamkan pada 20 Februari 2017, ketika Kang Chol berjalan keluar untuk mengadakan sidang media di luar Kedutaan Korea Utara. FAIL Aizuddin Saad
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol diarah meninggalkan Malaysia dalam 48 jam selepas gagal menghadirkan diri ke Wisma Putra, hari ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata Kang Chol dipanggil ke Kementerian Luar untuk bertemu Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar, Raja Nurshirwan Zainal Abidin, pada kira-kira 6 petang.

“Kementerian Luar melalui Nota Diplomatik dihantar ke Kedutaan Korea Utara bagi memaklumkan bahawa Kang Chol diisytiharkan sebagai ‘Persona Non Grata’ selepas gagal menghadirkan diri ke mesyuarat itu.

“Beliau dikehendaki meninggalkan Malaysia selewat-lewatnya 48 jam dari masa mesyuarat terbabit sepatutnya berlangsung, 6 petang, Sabtu," katanya dalam satu kenyataan media.

Anifah berkata, hasil mesyuarat itu, kerajaan menuntut Korea Utara mengemukakan permohonan maaf secara bertulis bagi dakwaan yang dilontarkan Kang Chol terhadap Malaysia.

"Pihaknya (Korea Utara) sudah dimaklumkan berhubung perkara itu. Sekiranya jawapan tidak diterima selewat-lewatnya, pada 10 malam, hari yang sama, Kerajaan Malaysia akan mengambil langkah mempertahankan kepentingan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2017 @ 10:35 PM